
Laporan/foto: Mohd Haizul Rohani/Johny George Kimlon (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 28 April (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah memperkemas strategi penyampaian maklumat bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) majlis keramaian difahami dan dipatuhi masyarakat.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah Nadzerah Abdullah, sebagai jabatan yang menerajui penyebaran maklumat kerajaan, pihaknya mengambil inisiatif tersebut susulan peningkatan kluster kes COVID-19 yang berpunca daripada pelanggaran SOP majlis keramaian di negeri ini.
“Kebelakangan ini, jumlah kes dan kluster di Sabah dilihat mula meningkat berikutan penganjuran majlis-majlis keramaian.
“Setakat semalam, kita dapati Sabah mencatat 199 kluster termasuk 11 kluster masih aktif yang merangkumi jumlah kumulatif sebanyak 57,747 kes positif,” katanya kepada media selepas sesi kunjungan hormatnya kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam di Wisma Kewangan, di sini hari ini.
Menurut Nadzerah, keadaan ini jelas membimbangkan dan sebagai jabatan yang menganggotai Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah, JaPen akan memperkasakan lagi strategi hebahan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
“Ini termasuklah usaha memperhebatkan kempen pematuhan SOP majlis keramaian menerusi infografik di laman sosial, selain meneruskan program Info on Wheels (IoW) di seluruh daerah,” dedah beliau.

CENDERAMATA…Nadzerah (tiga dari kiri) menyerahkan cenderahati kenangan kepada Joachim sebagai tanda terima kasih menerima kunjungan.
Mengenai perkembangan kempen program vaksinasi yang juga melibatkan peranan JaPen Sabah, Nadzerah menjelaskan usaha menggalakkan masyarakat mendaftar sebagai penerima vaksin masih terus digiatkan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.
“Bagi menjayakan program imunisasi ini, kita bekerjasama dengan Jawatankuasa Imunisasi COVID-19 (CITF) peringkat daerah serta para pemimpin masyarakat.
“Di pihak JaPen Sabah pula, kita menggerakkan 125 anggota di 25 daerah untuk sama-sama membantu dalam kempen pendaftaran vaksinasi ini,” ujarnya.
Nadzerah turut memaklumkan, JaPen Sabah yang terlibat secara langsung dalam CITF Peringkat Negeri Sabah kini memasuki Fasa 2 dan jawatankuasa tersebut merekodkan jumlah pendaftaran sebanyak 450,404 orang bersamaan 15.4 peratus.
-RI