Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Jatuh Bangun, Tetap Setia Bersama Sukan Papan Selaju

By 11 April 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 11 April (Malaysiaaktif) – Penampilannya yang kelihatan seperti seorang pendakwah tetapi apabila berbicara mengenai sukan papan selaju atau skateboard, pengalaman dan kejayaan yang dikecapinya cukup mengagumkan sebagai seorang pemain profesional dalam sukan papan selaju.

Menurut Syed Hadi Syed Abdul Kadir, 48, yang meminati sukan papan selaju sejak berusia 15 tahun lagi, beliau masih lagi menunjukkan semangat dan minat mendalam terhadap sukan yang diceburinya sejak lebih 30 tahun dahulu.

Menggunakan nama panggilan Boy JB, Syed Hadi mengenang kembali saat kali pertama hatinya terpaut dengan sukan lasak ini.

Syed Hadi Syed Abdul Kadir mencipta sendiri halangan seperti menggunakan kaki lima, bahagian tepi jalan dan tangga pejalan kaki untuk mengasah kemahiran masing-masing ketika mula-mula mempelajari teknik bermain papan selaju.

Syed Hadi mencipta sendiri halangan seperti menggunakan kaki lima, bahagian tepi jalan dan tangga pejalan kaki untuk mengasah kemahiran masing-masing ketika mula-mula mempelajari teknik bermain papan selaju.

“Semasa di Tingkatan 3, saya membeli papan selaju pertama jenis head street dan dari situ saya belajar dan mengasah kemahiran saya bermain papan selaju.

“Sukan ini sebenarnya sangat menyeronokkan sehingga saya berjaya bermain di peringkat antarabangsa dan menempatkan diri di antara 15 pemain papan selaju terbaik dalam kategori Asia,” katanya lagi ketika ditemui pada sesi ‘Old Man Skate Dice’ di taman rekreasi Pasaraya R&F Johor Bahru, di sini, hari ini.

Tambah Syed Hadi lagi, pada permulaannya beliau dan rakan-rakan mencipta sendiri halangan seperti menggunakan kaki lima, bahagian tepi jalan dan tangga pejalan kaki untuk mengasah kemahiran masing-masing.

Mohd Najib Othman berkata sukan lasak ini juga boleh diceburi oleh golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya.

Mohd Najib Othman berkata sukan lasak ini juga boleh diceburi oleh golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya.

“Selepas itu barulah ada taman luncur khas pertama di Kuala Lumpur yang mana walaupun jauh, setiap kali ada perjumpaan, kehadiran kami dari seluruh negara sentiasa disambut baik seperti sebuah keluarga,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi Kelab Skateboard Selatan Mohd Najib Othman, 42, berkata sukan lasak ini juga boleh diceburi oleh golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya.

Najib yang mengalami kecacatan di bahagian lutut sejak lahir, tidak pernah menganggap kekurangan tersebut sebagai halangan yang tidak boleh diatasi dan tetap berlatih bersungguh-sungguh sehingga berupaya menunjukkan kemahiran seperti pemain normal yang lain.

“Saya perlu mengambil masa yang agak lama untuk mempelajari teknik bermain papan selaju dan membiasakan diri agar tidak tercedera ketika bermain kerana lutut saya tidak mempunyai tempurung.

“Saya pernah mengayuh menggunakan papan selaju sejauh 5 kilometer setiap hari di sekitar bandaraya Johor Bahru untuk menguatkan bahagian kaki dan mempelajari teknik bermain yang betul pada masa yang sama,” ujarnya lagi.

Najib amat berterima kasih terhadap sokongan dan dorongan yang diberikan oleh rakan-rakan dan ahli keluarganya.

“Saya berharap sukan papan selaju ini dapat menyumbangkan pingat buat Malaysia di peringkat antarabangsa pada satu hari nanti,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda