Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kekal Paras 2,800 Dua Hari Berturut-turut dengan 2,847 Kes Baharu

By 24 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 24 April (Malaysiaaktif) – Jumlah kes harian COVID-19 kekal di atas paras 2,800 untuk dua hari berturut-turut, apabila 2,847 kes dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes 387,535.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya memaklumkan Selangor merekodkan kes baharu tertinggi dengan 748, diikuti Sarawak (717), Kelantan (476), Kuala Lumpur (302), Johor (130) dan Negeri Sembilan (105).

Sejumlah 89 kes direkodkan di Pulau Pinang, diikuti Sabah (82), Perak (45), Kedah (44), Melaka (42), Pahang (39), Putrajaya (14), Terengganu (11), Labuan (tiga) selain tiada kes baharu di Perlis.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan 2,341 lagi kes sembuh dicatatkan, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 22,512.

Selain itu, beliau berkata lapan kematian direkodkan semalam melibatkan tujuh warganegara dan satu bukan warganegara berusia antara 30 hingga 85 tahun, dan ini menjadikan jumlah kematian akibat pandemik itu kini 1,415.

“Sejumlah 260 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 125 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan lapan kluster baharu dikenal pasti melibatkan empat kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan iaitu Kluster Jalan Roban Lama dan Jalan Selirik di Sarawak, Kluster Jalan Sungai Daun (Pulau Pinang), Kluster Persiaran Sri Saujana (Johor) serta satu kluster pendidikan iaitu Mempaga Satu di Pahang.

Dua kluster komuniti yang dikesan adalah Gong Dermin di Kelantan dan Sri Desa di Pahang manakala kluster tempat kerja adalah Kluster Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda