
Laporan/foto: Abdul Rahman/Zaidy Salim (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 21 April (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Perbadanan Filem Nasional (FINAS) sentiasa komited dalam usaha memperkasakan industri perfileman melalui pelbagai inisiatif dan pelaksanaan berimpak tinggi seperti penawaran Dana Kandungan Digital (DKD), Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) dan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata kerajaan melalui KKMM sentiasa menyokong dan meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada FINAS bagi merancakkan dan memacu industri perfileman Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“KKMM telah melancarkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) yang merupakan inisiatif jangka pendek bertujuan untuk memastikan kelangsungan dan kelestarian para penggiat industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik COVID-19.
“PRISMA dijangka memberi manfaat kepada seramai lebih 9,000 penggiat industri kreatif serta berupaya mewujudkan sekurang- kurangnya 40,000 peluang pekerjaan yang melibatkan penyediaan peruntukan sebanyak RM89.2 juta,” katanya yang ditemui sempena Pelancaran Treler dan Audio Lagu Filem “Paramapatham”,” di sini semalam.
Menurut Zahidi, inisiatif-inisitiatif ini membuktikan pihak kementerian dan agensi di bawahnya sentiasa meletakkan industri perfileman sebagai keutamaan serta komited dalam menyokong pembangunan karya filem tempatan termasuk pembikin filem tersebut.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menghasilkan naskhah filem ini terutamanya kepada Dr. Latcha Perrabu selaku penerbit filem, Viknes Perrabu dan Thanesh Perrabu selaku pengarah, barisan artis, kru produksi dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak.
“Saya berharap agar kita dapat berganding bahu dalam membangunkan industri perfileman tempatan bagi mencapai hasrat kita bersama untuk menembusi pentas Oscars,” katanya.
Filem “Paramapatham” telah memenangi beberapa anugerah pada peringkat antarabangsa serta berjaya dicatatkan dalam “Malaysia Book of Records”, “Asian World Records” dan “Grand Asian Book of World Records” sebagai filem Tamil tempatan paling banyak menerima anugerah antarabangsa.
-ZS