
Laporan/foto: Zaidy Salim (Putrajaya)/KKMM
PUTRAJAYA, 22 April (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia menerusi Pusat Sumber dan Fotografi menganjurkan program “Jom Baca Bersama JaPen 10 minit” pada peringkat organisasi bersempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.
Menurut penolong pengarahnya Hussin Ibrahim, program yang disambut pada 23 April setiap tahun ini bertujuan menggalakkan pembacaan, penerbitan dan perlindungan harta intelek hak cipta.
“Selari dengan pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan ‘KL Baca! – Caring Through Reading’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2018 yang menyarankan seluruh sektor perpustakaan di semua kementerian, jabatan mahupun agensi mejayakan program ini bagi merealisasikan Malaysia sebagai negara membaca serta meningkatkan peratusan rakyat Malaysia membaca.
“Objektif utama program ini adalah untuk menyemarakan amalan membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia, menggarapkan kolaborasi semua kemeterian, jabatan dan agensi dalam menyemai cintakan ilmu dalam kalangan warga serta membentuk pemimpin menjadi ikon membaca kepada semua rakyat,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Menurut Hussin, program ini bertujuan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan seluruh kakitangan KKMM amnya dan seluruh rakyat Malaysia khususnya.
“Program ini disertai seluruh kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) seluruh negara secara dalam talian di mana semua yang terlibat perlu berhenti daripada melakukan apa yang sedang dibuat lalu mula membaca selama 10 minit.
“Peserta perlu berkongsi foto membaca dan tanda pagar ke Pusat Sumber dan Fotografi JaPen dan setiap penyertaan akan diberikan sijil penghargaan,” katanya.
-ZS