
Laporan/foto: Aimi Ainna Latif/Mohd Najib Mohaini (Johor)
JOHOR BAHRU, 28 April (Malaysiaaktif) – Lailatul Qadar merupakan 10 malam terakhir di bulan Ramadan yang sering disebut sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan di mana ia akan menjelma tanpa kita tahu tarikh dan masanya secara spesifik.
Bersempena Sambutan Nuzul Al-Quran, Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Johor telah menganjurkan program INFLUENCER@JaPen yang membincangkan tentang ‘Berkat Al-Quran, ku Mencari Lailatul Qadar’.
Menurut Pegawai Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor Samsuddin Mahadi, Al-Quran merupakan kitab suci yang diturunkan pada bulan Ramadan secara beransur-ansur sehingga lengkap yang mana ia merupakan wahyu yang diturunkan Allah bagi umat Islam melalui pengantaraan antara malaikat Jibril.
“Apabila tiba bulan Ramadan, umat Islam akan memperingati beberapa peristiwa sirah Islam yang berlaku di dalamnya yang merupakan peristiwa agung iaitu turunnya kitab suci Al-Quran dan malam Lailatul Qadar.
“Al-Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad yang menjadi panduan umat Islam yang mana di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, muamalat, munakahat dan sebagainya,” katanya lagi semasa program Influencer@Japen Johor di ibu pejabat Jabatan Penerangan Negeri Johor, di sini, semalam.
Tambah beliau, Nuzul Al-Quran pula merupakan hari kelepasan umat Islam di bulan Ramadan yang disambut pada permulaan Al-Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad.
“Kebanyakan Ahli Sunnah Muslim menyebut Nuzul Al-Quran jatuh pada hari ke-27 Ramadan, namun di Malaysia ia disambut pada 17 Ramadan,” ujarnya.
Shamsuddin berkata malam Lailatul Qadar merupakan suatu malam yang teristimewa di bulan Ramadan.
“Malam tersebut hanya berlaku sekali sahaja sepanjang dalam bulan Ramadan dan merupakan malam yang lebih baik dari 1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun.
“Malam Lailatul Qadar merupakan malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan malam yang mempunyai pelbagai kelebihan,” ujarnya lagi.
Ia disembunyikan daripada pengetahuan hamba-Nya dengan hikmah-hikmah tertentu iaitu supaya manusia lebih gigih dan bersungguh-sungguh beribadah setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan.
“Hidupkanlah malam hari dengan iktikaf dan solat malam iaitu solat sunat tajahud, taubat, hajat dan perbanyakkan zikir kepada Allah SWT dalam jumlah yang kita mampu.
“Selain itu, saya juga berharap kita semua dapat membudayakan amalan bersedekah, melakukan solat tarawih, bertadarus dan sebagainya dan jadikan ia sebagai rutin kehidupan seharian,” katanya.
-NI-