
Laporan/foto: Siscalistorina Janius/ Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 April (Malaysiaaktif) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bantu pulih industri pelancongan melalui Pelan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020 – 2030.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Sri Nancy Shukri, berkata bagi menjamin kelangsungan industri pelancongan negara pelan pemulihan yang efektif diperlukan bagi membolehkan ekonomi negara pulih dengan kadar segera.
“Pelan jangka pendek di bawah DPN 2020 – 2030 dengan kerjasama persatuan pelancongan merangka dan melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan dan enam strategi diperkenalkan.
“Memulihkan keyakinan orang awam untuk melancong semula sambil mengadaptasi norma baharu seperti keselamatan, kebersihan dan kesihatan serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) merupakan strategi pertama.

Sesi Panel Building a Thriving BE Industry – The Economic Fronliner dimoderator oleh Pengurus Besar SICC, Tristan Beau de Lomenie (kanan).
“Kedua, pakej pelancongan yang kreatif dan menarik menerusi platform digital ditawarkan dan mempromosi keunikan destinasi pelancongan desa kerana pelancong kini gemarkan destinasi yang selamat, kurang sesak dan nyaman.
“Selain itu, menawarkan insentif dan promosi dalam bentuk baucar rebat, e-baucar, pulangan wang tunai melalui e-dompet dan diskaun.
“Empat dan lima ialah mengadaptasi penggunaan teknologi terkini yang selamat dan tanpa sentuh dan mengukuhkan kerjasama awam-swasta terutamanya dalam menambahbaik produk pelancongan, seni dan budaya sedia agar lebih inovatif dan menarik.
“Akhir sekali, pemahiran semula dan meningkatkan kemahiran (upskill and reskill) bagi menambahbaik kualiti dan kredibiliti profesion dengan mengadaptasi norma baharu,” jelas beliau.
Menurut Nancy, siri jerayawara di Sabah agak beza dan istimewa berbanding negeri lain kerana dua elemen diadakan sekaligus iaitu Dasar Pelancongan Negara dan Kempen Meet in Malaysia @Sabah.
“Program itu dilaksanakan oleh Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) dibawah MOTAC bagi merangsang semula segmen acara perniagaan seterusnya membantu industri pulih lebih cepat,” beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sesi Jerayawara DPN 2020-2030 bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini semalam.
Untuk rekod, Nancy mengadakan lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Sabah, bermula hari ini sehingga 25 April ini, menyatakan komitmen MOTAC untuk terus membantu membangunkan dan mempromosikan Sabah sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik di Malaysia selain mengukuhkan hubungan strategik antara MOTAC dengan Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Datuk Guan Dee Koh Hoi, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, Penolong Pengarah Kanan Perbadanan Labuan Shahrullizam Sapar.
-RI