
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Alor Setar)
ALOR SETAR, 27 April (Malaysiaaktif) – Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyempurnakan Pelepasan Pasukan Batalion ke-6 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) ke Operasi Persisir Pantai di Sabah.
Baginda menegaskan bahawa penglibatan pegawai dan anggota Batalion ke-6 RAMD merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan ikhlas demi mencapai matlamat operasi di samping menjaga nama baik pasukan.
“Beta berharap supaya semua pegawai dan anggota yang terlibat mematuhi segala peraturan, arahan, rancangan atur gerak yang telah dirancang oleh pegawai memerintah dan pihak atasan dengan baik agar operasi dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Semangat juang dan tangkas bertindak haruslah menjadi pegangan semasa melaksanakan tugas, selain tahap disiplin yang tinggi serta kesiapsiagaan harus diutamakan agar dapat mengelak daripada berlaku kemalangan dan penyalahgunaan kuasa,” titah baginda ketika majlis pelepasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.

Sultan Kedah berkenan menyempurnakan Majlis Pelepasan Pasukan Batalion ke-6 (RAMD) ke Operasi Persisir Pantai di Sabah.
Baginda berpesan, penugasan semasa operasi menjadi kian mencabar, di mana bukan sahaja harus berhadapan dengan musuh yang dapat dilihat, namun harus berhadapan dengan musuh yang tidak nampak di mata iaitu virus COVID-19.
“Beta berharap agar semua yang terlibat dapat terus bersabar dan tabah dalam melaksanakan operasi ini dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan di samping itu, setiap individu haruslah menjaga kesihatan agar sentiasa dalam keadaan yang baik supaya dapat menjalankan tugas dengan sempurna.
“Beta berdoa semoga pandemik ini dapat dibendung agar kita dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih mudah dan berharap semoga Operasi Persisir Pantai Siri 2 tahun 2021 dipermudahkan dan berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan,” titah baginda lagi.
Penglibatan Batalion ke-6 RAMD ke operasi ini merupakan kesinambungan misi Angkatan Tentera Malaysia untuk menjaga kedaulatan negara agar sempadan negara tidak diceroboh serta membendung kegiatan haram daripada berlaku.
Jumlah keseluruhan pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi ini adalah seramai 16 pegawai dan 281 anggota lain-lain pangkat Batalion ke-6 Rejimen Askar Melayu DiRaja yang akan menjalankan operasi persisir pantai di Sabah selama tiga bulan.
~RJ~