
Laporan/foto: Anuar Che Amat (Arau)
ARAU, 25 April (Malaysiaaktif) – Para pengunjung pasar Ramadan yang hendak membeli juadah makanan digalakkan untuk membawa bekas makanan sendiri bagi mengelakkan pembaziran makanan sekaligus mengurangkan penggunaan beg plastik dan bekas polisterin.
Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis Azizan Sulaiman, Program Penyerahan Mangkuk Tingkat dan Kempen Makanan Elak Pembaziran sempena Bulan Ramadan ini diadakan bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran orang ramai.
“Medium ini merupakan adalah program kesedaran awam di dalam bulan Ramadan untuk mengingatkan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia untuk mengelakkan pembaziran makanan di bulan yang mulia ini.
“Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama kerajaan negeri, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pertubuhan Pengerak Komuniti Negara Negeri Perlis dan Sukarelawan Trash Hero telah menyerahkan 20 mangkuk tingkat kepada para pengunjung di pasar ramadan ini dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan rakyat agar tidak membazir,” katanya ketika sidang media Program Penyerahan Mangkuk Tingkat dan Kempen Makanan Elak Pembaziran sempena Bulan Ramadan di Tapak Pasar Baru Arau, di sini semalam.
Tambah beliau, dalam masa yang sama pihak peniaga juga tidak perlu lagi membekalkan beg plastik kepada para pembeli sejajar dengan Kempen Zero Plastik 2030 yang mana ia bertujuan untuk menangani masalah pencemaran plastik sekali guna.
“Jika kita lihat, kadar sisa makanan yang telah dilupuskan di tapak pelupusan seluruh negara ialah sebanyak 44.5% bersamaan dengan 17,000 tan sisa sehari yang mana ia boleh memberi makanan kepada tiga juta orang sehari dengan tiga kali hidangan di seluruh Malaysia.
“Di negeri ini pula, sebanyak 35.9% bersamaan dengan 52.5 tan sisa sehari dilupuskan dan ianya cukup untuk memberi makanan kepada 1,300 orang dengan tiga kali hidangan setiap hari,” ujarnya.
Azizan berharap orang ramai dapat memahami konsep yang telah diperkenalkan oleh kerajaan ini dan menggalakkan penggunaan mangkuk tingkat untuk rakyat yang memilih untuk membeli juadah di pasar Ramadan.
“Saya menyeru orang ramai untuk membawa bekas atau bakul sendiri dari rumah agar pelaksanaan kempen ini dapat berjalan lancar dan secara tidak langsung dapat mengurangkan pembaziran makanan dan penggunaan beg plastik dalam kehidupan seharian,” ujarnya lagi.
-NI-