
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Dasuki Dahaban (Larut Matang dan Selama)
KAMUNTING, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Penggunaan produk biodegradasi mampu mengurangkan risiko kepada pencemaran alam sekitar seterusnya mengurangkan jumlah sampah ke tapak pelupusannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak Mohd Akmal Kamarudin, berkata pengurangan penggunaan plastik konvensional dalam aktiviti seharian sangat penting untuk melestarikan alam sekitar.
“Proses untuk mengurai plastik konvensional mengambil masa yang begitu lama dan difahamkan boleh mencapai hingga 100 ke 200 tahun untuk terlupus atau terlerai dengan sendirinya lalu menyebabkan lambakan plastik di tapak pelupusan sampah.
”Lebih teruk lagi apabila plastik konvensional dicampur dengan sisa-sisa sampah yang lain menyebabkan terjadinya pencemaran tanah dan kebakaran selain menjadi ancaman kepada hidupan akuatik jika tidak ditangani dengan lebih serius,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Pengagihan Produk Biodegradasi Sekitar Taiping di Tapak Bazar Ramadan, di sini baru-baru ini.
Menurut Akmal, berdasarkan laporan Tabung Alam Sedunia (WWF), anggaran penggunaan bungkusan plastik makanan atau plastik konvensional di Malaysia telah mencecah 148 ribu metrik tan sepanjang tahun lalu.
“Malaysia turut berada di kedudukan ke lapan daripada 10 dunia yang berdepan masalah plastik tidak terurus menyebabkan keupayaan negara untuk mengatasi masalah sampah plastik konvensional ini kini melebihi kemampuannya.
“Orang ramai diseru untuk menyokong hasrat dan kerjasama kerajaan negeri bersama Persatuan Teman Alam bagi membantu menyebarkan objektif dan matlamat program Perak Bumi Lestari kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Akmal berkata penjaja dan peniaga adalah antara kumpulan sasaran yang boleh membantu menerapkan amalan penggunaan produk biodegradasi ini kerana tapak pasar malam antara tempat yang banyak dikunjungi oleh pengunjung.
“Sehubungan itu kerajaan negeri melalui Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau bersama dengan Persatuan Teman Alam menyeru agar masyarakat berganding bahu menyemai perasaan cinta akan alam sekitar dalam diri masing-masing,” ujarnya.
~RJ~