
Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 24 April (Malaysiaakatif) – Pemberian tablet oleh Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis untuk kegunaan pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan bagi mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah amat dialu-alukan.
Menurut Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis Azizi Janan, 205 buah tablet yang diterima akan ditempatkan di empat buah perpustakaan awam cawangan iaitu di Padang Besar, Simpang Empat, Kuala Perlis dan Perpustakaan Pekan Arau.
“Tablet ini juga akan turut diletakkan di Perpustakaan Komuniti Pusat Tranformasi Bandar (UTC) dan 36 buah perpustakaan desa di negeri ini.
“Keutamaan diberikan kepada para pelajar yang memerlukannya bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik,” katanya pada Majlis Perasmian Program Jom Baca Bersama 10 Minit Peringkat Negeri Perlis di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, di sini baru-baru ini.
Tambahnya, beliau amat berharap para pelajar dan ibu bapa boleh hadir ke perpustakaan yang berdekatan dengan kediaman mereka dan memanfaatkan segala kemudahan serta peralatan yang disediakan bagi memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lebih lancar, selesa dan sempurna.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis Rozieana Ahmad dan Ahli Lembaga Pengarah di atas sumbangan yang diberikan.
“Pemberian ini secara tidak langsung akan dapat menyelesaikan isu PDPR yang sering dihadapi ibu bapa di kawasan kampung dan pedalaman di mana segelintir daripada mereka tidak mempunyai kelengkapan yang diperlukan, tiada capaian internet di rumah, capaian kurang memuaskan serta tiada mesin pencetak,” ujarnya.
-NI-