Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

PM Santuni Masyarakat Di DUN Gambir

By 28 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Yusof Abd Samad/Nur Shahrina Amran (Tangkak) 

TANGKAK, 28 April (Malaysiaaktif) – Majlis Tahlil dan Penyampaian Sumbangan Ramadan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Majlis ini merupakan salah satu medium untuk mengeratkan ukhwah dengan masyarakat setempat selain menyampaikan maklumat tepat mengenai isu semasa khususnya membabitkan wabak COVID-19.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan menghabiskan beratus bilion ringgit bagi mengekang penularan COVID-19 ini.

“COVID-19 yang melanda negara ketika ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian rakyat malah pemain industri dan kilang juga terpaksa menutup perniagaan mereka yang mana kerugian yang terpaksa ditanggung mencecah RM2.5 bilion sehari.

“Jika penularan ini tidak dikawal secara rapi dan dan tiada penguatkuasaan undang-undang diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan, maka masalah COVID-19 tidak akan dapat di atasi dalam tempoh terdekat,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Tahlil dan Penyampaian Sumbangan Ramadan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Masjid Jamek Simpang 5 Darat Bukit Gambir, di sini, semalam.

Tambah beliau, kerajaan telah menyalurkan RM300 bilion untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di seluruh negara.

“Penguatkuasaan undang-undang dan kompaun yang tinggi kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) bukan bertujuan untuk menambah tekanan yang dihadapi rakyat, namun itu adalah tindakan untuk mengawal penularan wabak ini.

“Saya berharap, rakyat Malaysia dapat bersama-sama membantu kerajaan dalam memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 ini,” ujarnya.

Sementara itu pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada para penerima dalam kalangan masyarakat di DUN Gambir.

Turut hadir, Pegawai Daerah Tangkak Shafiei Ahamad, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Pegawai Kadi Daerah Tangkak dan Ketua-ketua Jabatan.

-NI-

Tinggalkan komen anda