
Laporan/foto: Nur Afikah Rusly/Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)
TRONG, 30 April (Malaysiaaktif) – Program sambutan Nuzul al-Quran 1442 bertemakan ‘al-Quran Petunjuk Sepanjang Zaman’ anjuran bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP) telah berlangsung sederhana namun tetap meriah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong Jamilah Zakaria, berkata kebiasaannya majlis yang dijalankan sepanjang Ramadan akan diteruskan dengan program-program berbentuk keilmuan kerana bulan penuh berkat ini adalah bulan ilmu pengetahuan.
“Kita menganjurkan program yang bersesuaian dengan masyarakat seperti kuliah duha, sumbangan nasi beriani yang diadakan pada setiap minggu dan edaran bubur manis bersempena Nuzul al-Quran,” katanya ketika ditemui sempena program tersebut di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT), di sini semalam.
Jamilah menegaskan, semua program sempena Ramadan termasuk Sambutan Nuzul al-Quran ini diadakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Program mengimarahkan bulan Ramadan menjadi matlamat utama Pusat Khidmat ADUN Trong dan terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Food Aid Foundation yang memberikan kerjasama dalam usaha menyalurkan bantuan makanan dan wang tunai kepada fakir miskin,” ujarnya.
Turut berlangsung Forum Bicara yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah JAIPK Harith Fadzilah Abd Halim dan Pegawai Agama (Pendidikan) JAIPP Roslan Che Ros.
~RJ~