
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Facebook Tentera Darat Malaysia
PORT DICKSON, 20 April (Malaysiaaktif) – Tanggungjawab menjaga kesihatan diri adalah tanggungjawab kita bersama untuk kebaikan semua.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sokongan daripada rakyat dalam pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan amatlah diperlukan.
“Kita patuh SOP bukan kerana polis tetapi tanggungjawab kita untuk jaga diri dan keluarga kita.
“Tidak perlu katakan polis ada, polis buat sebab akhirnya yang menanggung adalah kita,” katanya ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini semalam.
Mengulas mengenai isu pertambahan angka kes positif COVID-19, Ismail Sabri berkata tidak mungkin KKM boleh memanipulasi jumlah kes kerana setiap negeri tahu akan jumlahnya.
“Kalau dari segi laporan, penggunaan hospital semakin banyak maknanya ramai yang positif, penggunaan katil semakin bertambah, unit rawatan rapi (ICU)semakin bertambah, itu menunjukkan bahawa kes benar-benar berlaku dan tiada sebab untuk kita memanipulasi.
“Peningkatan semula kes ini bukan berlaku di Malaysia sahaja, seluruh dunia malah di beberapa buah negara Eropah seperti Itali, Perancis, mereka juga telah membuat kawalan pergerakan,” katanya.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, menzahirkan ucapan penghargaan buat Menteri Kanan (Keselamatan) atas usaha beliau yang memberikan tumpuan kepada pembangunan keupayaan Tentera Darat (TD) dan inisiatif bantuan bagi menjamin kebajikan warga TD.
Terdahulu, Ismail Sabri telah mengadakan lawatan kebajikan ke atas dua waris anggota Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin (MK PLDTD) iaitu Nor Diana Yusmaliza Yusnizal yang menghidap penyakit microchephaly (Kepala Mengecil) dan Siti Mazidah Mokhtar yang menghidapi osteoporosis (Saraf Tulang Belakang).
Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada lima warga PLDTD dan beramah mesra bersama anggota TD serta jemputan yang hadir.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman, pegawai-pegawai kanan dan anggota TDM.
-FF