Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

4,113 Kes Baharu

By 15 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 15 Mei (Malaysiaaktif) –Kes jangkitan COVID-19 menunjukkan sedikit penurunan apabila 4,113 kes baharu direkodkan semalam berbanding 4,855 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes baharu itu sekali gus menjadikan jumlah kes positif keseluruhan kini 462,190 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 4112 merupakan kes tempatan melibatkan 3,791 warganegara manakala baki 321 bukan warganegara dan satu kes import.

Beliau memaklumkan terdapat 34 kematian melibatkan semua warganegara dilaporkan semalam, iaitu jumlah kematian kedua tertinggi dicatatkan selepas 39 kematian, Rabu lalu.

Setakat ini, jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 kini 1,822 kes, katanya menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau semalam.

Dr Noor Hisham memaklumkan jumlah kes sembuh yang dicatatkan semalam ialah 4,190 kes dan seramai 482 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 250 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya kes aktif COVID-19 di seluruh negara kini berjumlah 41,471.

Menurutnya, berdasarkan pecahan kes setiap negeri, Selangor kekal merekodkan angka tinggi dengan 1,269 kes diikuti Sarawak (533 kes) dan Kelantan (371 kes).

Ini disusuli Kuala Lumpur (306 kes), Pulau Pinang (266 kes), Kedah (228 kes), Pahang (178 kes), Perak (147 kes), Terengganu (165), Negeri Sembilan (124), Melaka (108 kes) dan Sabah (53 kes).

Putrajaya merekodkan 20 kes, Labuan (enam kes) dan Perlis pula lima kes baharu, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan mengenai penularan COVID-19, berkata sebanyak 13 kluster baharu COVID-19 dilaporkan semalam termasuk empat kluster di tempat kerja.

Kluster di tempat kerja melibatkan Kluster Perindustrian Balakong di Selangor; Kluster Tanjung Dungun (Terengganu); Kluster Menara Jalan Putra (Pahang) dan Kluster Persiaran Utara (Johor).

Beliau berkata kluster komuniti pula membabitkan Kluster Bukit Pauh (Terengganu, Pahang, dan Selangor); Kluster Sungai Lebai (Pahang); Kluster Sungai Rayah Komuniti (Sarawak) dan Kluster Jalan Mawar Pasak di Johor).

“Kluster Dah Mahsuri di Kedah dan Kluster Kampung Batu Muda di Kuala Lumpur adalah kluster keagamaan.

“Kluster Jalan Tegas di Selangor adalah kluster pendidikan tinggi, manakala Kluster Lebuh Lembah Permai (kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan) dan Kluster Lebuh Katz (kluster kumpulan berisiko tinggi) masing-masing di Pulau Pinang,” katanya.

Pengesanan kluster itu menjadikan jumlah kluster COVID-19 di negara ini sebanyak 1,861 dengan 461 kluster masih aktif manakala 1,400 kluster diisytiharkan tamat setakat ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda