
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 19 Mei (Malaysiaaktif) –Angka korban akibat COVID-19 di negara ini, terus meningkat dengan 47 lagi kematian semalam iaitu angka tertinggi pernah direkodkan setakat ini, sekali gus menjadikan kes kumulatif maut di Malaysia kini 1,994.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata majoriti kes dilaporkan di kawasan Lembah Klang dengan 22 kes melibatkan 18 di Selangor dan empat di Kuala Lumpur, diikuti masing-masing lima kes di Sarawak dan Pulau Pinang; Johor dan Kelantan masing-masing empat; Perak (tiga); Pahang (dua), serta masing-masing satu kes di Kedah dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata kes kematian itu melibatkan 46 warganegara dan seorang bukan warganegara dalam lingkungan umur antara 41 hingga 94 tahun dengan majoriti individu menghidap penyakit kronik.
Sementara itu, kes baharu COVID-19 turut meningkat apabila 4,865 kes direkodkan semalam berbanding 4,446 kes kelmarin, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 479,421 kes.
“Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,743 kes diikuti Sarawak (512) dan Kuala Lumpur (477),” katanya dalam satu kenyataan mengenai penularan COVID-19, semalam.
— BERNAMA