Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Bapa Ditahan Beri Anak Hisap Vape

By 6 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Seorang lelaki yang dipercayai bapa kanak-kanak berusia dua tahun ditahan pihak polis selepas tindakannya memberikan rokok elektronik (vape) untuk dihisap anaknya.

Pihak polis bertindak selepas menerima laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) susulan tular video kejadian di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya bersama JKM dapat mengesan kediaman kanak-kanak tersebut di sebuah rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak.

“Kanak-kanak tersebut dapat diselamatkan dan dibawa bersama ibunya ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut sebelum ditahan di wad.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 2 Mei lalu di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, tindakan bapa berusia 23 tahun itu dirakam isterinya sebelum dimuat naik di media sosial.

“Suspek telah ditangkap dan mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari bermula 5 Mei untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 12 saat yang memaparkan tindakan seorang lelaki memberikan vape kepada seorang kanak-kanak yang dimuat naik ibunya.

Tindakan berkenaan mengundang kecaman netizen hingga menyebabkan wanita terbabit meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan video itu serta memohon maaf atas kelakuannya.

-RI

Tinggalkan komen anda