
Laporan/foto: Nur Afikah Rusly (Larut Matang dan Selama)
KAMUNTING, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Peningkatan kes COVID-19 dipercayai dapat dikawal melalui pengesanan awal kes bergejala yang dilakukan secara meluas dengan pendekatan saringan bersasar yang dijalankan di kawasan berisiko dan di bawah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Taiping.
Pegawai Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) Dr Norzi Abu Talib, berkata pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) LMS mendapati sebanyak 95 orang membuat ujian saringan bersasar COVID-19 bertempat di Masjid Maimun bagi penduduk Kampung Jana Baru dan Kampung Pinang.
“Golongan yang disasarkan pada hari ini tertumpu kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas selain mempunyai masalah kesihatan yang serius dan bergejala,” kata Norzi yang ditemui di pusat kesihatan tersebut, di sini semalam.
Inisiatif ini dilakukan kerana kebanyakan penduduk di kawasan itu adalah bergejala dan golongan warga emas berisiko tinggi untuk dijangkiti.
“Bagaimanapun kita tidak melaksanakan saringan secara menyeluruh di kawasan Taiping kerana lebih menumpukan di kawasan berisiko tinggi.
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru orang ramai yang mempunyai gejala atau kontak rapat dengan pesakit COVID-19 untuk segera membuat ujian saringan di Klinik Kesihatan berhampiran dan sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam,” katanya.
~RJ~