
Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)/Penjara Seremban
SEREMBAN, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Seremban dengan kerjasama Penjara Seremban dan Badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah mengambil inisiatif mengadakan Program Sepakat@Komuniti: Ihya Ramadan@Penjara Seremban.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Seremban Fauziah Abdullah, program yang dijalankan ini bertujuan membentuk kemesraan dan ikatan persaudaraan bersama penghuni serta memberi peluang kepada penghuni untuk berbuka puasa bersama.
“Kami dapat merasakan perasaan rindu para penghuni di sini yang rindu untuk berbuka puasa bersama dengan keluarga serta ingin menjalani hidup bebas.
“Justeru itu, kami telah menyantuni seramai 30 orang penghuni dengan berbuka puasa bersama dan kami turut memberi sokongan dan berkongsi pengalaman supaya mereka terus bersangka baik dan reda dengan takdir Allah,” ujarnya ketika ditemui sempena program tersebut, di sini baru-baru ini.
Pengarah Penjara Seremban Fayrouz Ahmad Zawawi, berkata pihaknya mengalu-alukan kunjungan daripada mana-mana agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghargai penghuni di tempat berkenaan.
“Pihak kami menyambut baik program-program seperti ini bagi membantu meningkatkan motivasi dalam kalangan banduan.
“Justeru itu, saya berterima kasih kepada Pejabat Penerangan Daerah Seremban dengan kerjasama Persatuan Amal dan Kebajikan Al-Baasith, MyFundAction, Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dan Persatuan Kembara Anak Muda Negeri Sembilan atas penganjuran program ini,” ujarnya.
-FF