Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala Lumpur

Lebih 50 Peratus Penduduk Kuala Lumpur Daftar Sebagai Penerima Vaksin

By 10 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulhilmi Jalil (WPKL)

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin meningkat kepada 53.68 peratus iaitu bersamaan 795,030 pemohon setakat semalam.

Menurut satu soal selidik peringkat negeri yang telah dijalankan oleh Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JaPen WPKL) mengenai Laporan Reaksi Am (LRA) dalam talian: Pendaftaran Penerima Vaksin & Pusat Pemberian Vaksin (PPV) turut menunjukkan 86.9 peratus daripada 1,013 responden mengakui diri mereka sudah mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19 di wilayah tersebut.

“Statistik tersebut dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang memaparkan peningkatan dalam tempoh sebulan daripada 46.3 peratus bersamaan 685,379 individu yang direkodkan pada 9 April lepas.

“Peningkatan 7.38 peratus itu melibatkan jumlah populasi individu berusia 18 tahun ke atas yang layak mendaftar sebagai penerima vaksin di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan tersebut.

 

WPKL1

Petugas Jabatan Penerangan WPKL membantu orang ramai mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19

Soal selidik tersebut turut menunjukkan, 38 peratus responden bersetuju aktiviti turun padang antara langkah proaktif yang perlu dilaksanakan dalam usaha menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Pada masa sama, 28.9 peratus responden berpendapat kerajaan perlu menambah lebih banyak PPV manakala, 20.1 peratus responden pula bersetuju untuk kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin dalam usaha mencapai status imuniti kelompok.

“Soal selidik yang dilakukan secara rawak itu mendapati, majoriti responden merupakan mereka berumur 31 hingga 42 tahun iaitu 46.6 peratus dan bekerja di sektor swasta 41.1 peratus,” menurut kenyataan tersebut lagi.

Sehingga 9 Mei, JKJAV merekodkan seramai 107,849 individu di Kuala Lumpur yang telah menerima suntikan vaksin menerusi Fasa 1 dan Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

-ZS

Tinggalkan komen anda