
Laporan/foto: Muhammad Naim Mohd Shaari (Jempol)
JEMPOL, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Dengan kos projek bernilai lebih RM6.8juta, sebuah masjid baharu di Bandar IOI Jempol akan dibina tidak lama lagi.
Masjid tersebut akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar di taman-taman berdekatan dan mampu menampung seramai 1000 jemaah dalam satu-satu masa.
Menurut Pengarah Kerja Raya Negeri Sembilan Ir. Roslan Mohd Salleh, pembinaan baharu Masjid Kariah Taman Desa Putri, Taman Kasih Putra, Taman Bahau dan Bandar IOI-Daerah Jempol merupakan salah satu projek Kerajaan Persekutuan yang diselaraskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan dan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan untuk perlaksanaan.
“Projek ini dijadualkan siap pada 27 Mac 2023 iaitu selama 104 minggu dan akan dilengkapi bangunan sokongan seperti rumah pam,rumah sampah dan TNB compact sub serta kemudahan awam seperti tempat letak kereta yang luas dan pondok-pondok untuk beristirahat.
“Penyeliaan dan pemantauan secara rapi serta berterusan oleh JKR Negeri Sembilan dan JKR Daerah Jempol selaku pengurus projek perlulah dilaksanakan dengan baik agar setiap ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan dapat mendatangkan faedah kepada rakyat khususnya penduduk-penduduk di Daerah Jempol,” katanya ketika ditemui sempena majlis pecah tanah masjid tersebut, di sini SEMALAM.
Masjid ini akan diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, selaku agensi yang mengendalikan pengurusan masjid dan surau di Negeri Sembilan.
Sementara itu Muzli Mustafa, 45, yang merupakan pengerusi Surau Al-Ikhwan Taman Kasih Putera meluahkan rasa syukur kerana penantian selama hampir 10 tahun kini telah menjadi kenyataan.
“Setelah pelbagai cara yang telah diusahakan untuk mendapatkan sebuah masjid, dalam bulan yang mulia ini saya selaku wakil daripada tiga pengerusi taman yang terlibat mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana mendengar rayuan kami selama ini.
“Saya berharap agar dengan terbinanya masjid ini nanti dapat lebih ramai lagi mengimarahkan masjid ini dan digunakan sebaiknya,” katanya.
-FF