
Laporan/foto: Norliza Yusof/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Media memainkan peranan penting dalam memberi pencerahan kepada rakyat melalui laporan yang tepat.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, berkata peranan tersebut penting dalam memastikan rakyat menerima berita yang sahih khususnya berkaitan program imunisasi yang sedang giat dijalanlam oleh kerajaan untuk mendepani pandemik COVID-19.
“Dalam zaman komunikasi tangkas dan era diselubungi penyebaran berita palsu mahupun separa benar ini pengamal media perlulah memeriksa ketulenan sesuatu berita itu sebelum menyampaikannya kepada rakyat.
“Tanpa perasaan jujur dalam pemberitaan bakal menjurus pengamal media kepada kepincangan dalam membantu rakyat memahami kebenaran serta menimbulkan moral panik dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Jauhi daripada sebarang prasangka mahupun syak wasangka dalam setiap perkongsian mahupun sebaran am dan terus bersama membantu kerajaan memberikan pencerahan kepada rakyat terutama pada masa sukar apabila kehidupan dan ekonomi rakyat terjejas akibat pandemik ini,” ujarnya sempena Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Pengarang dan Pengamal Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.
Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas pengorbanan bersama menjadi barisan hadapan menggalas tanggungjawab menghebahkan informasi terkini terutama berkaitan perkembangan semasa COVID-19 di Sabah.
“Bagi memastikan tahap keselamatan ketika bertugas terus terbela, kerajaan negeri sentiasa berusaha dalam pemberian suntikan vaksin kepada para pengamal media, suntikan vaksin dos pertama tersebut akan bermula pada 6 Mei ini.
“Setinggi penghargaan kepada rakan media atas kerjasama dalam pemberian vaksin ini demi mengekang penularan COVID-19 dan berharap kerjasama rapat ini dapat diteruskan dari masa ke semasa,” tambah beliau.
Turut hadir, Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Arifin Mohd Arif, Pengarah Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah, Pengarah Penyiaran Sabah Nor’ain Bakhir dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Muguntan Vanar.
-ZS