
Laporan/foto: Mohd Nasharuddin Mohd Shah/Mohd Najib Mohaini (Johor)
JOHOR BAHRU, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Pertandingan Pidato Kenegaraan merupakan salah satu program teras anjuran Jabatan Penerangan Malaysia berkonsepkan pidato secara ted talk.
Menurut Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Johor Tads Mahar Ibnu Hajar, Pertandingan Pidato Kenegaraan ini merupakan medium terbaik bagi mengasah bakat para pemidato.
“Saya berharap pertandingan seumpama ini dapat diteruskan kerana ia menyediakan platform persaingan secara sihat buat rakyat Malaysia,” katanya lagi ketika ditemui pada sesi penjurian Pertandingan Pidato Peringkat Negeri Johor, di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, ia boleh dijadikan salah satu aktiviti kokurikulum dengan memperluaskan lagi penglibatan para pelajar sekolah melalui kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Panel dari Kolej Yayasan Pelajaran Johor Norhaida Ahmad berkata para peserta perlu didedahkan dengan gaya penyampaian maklumat terkini yang menggunakan pelbagai medium.
“Pelbagai cara boleh digunakan termasuk rakaman video seperti yang digunakan pada pertandingan pidato yang dianjurkan oleh JaPen pada kali ini, selain memperluaskan kempen dengan lebih baik dan efektif lagi,” ujarnya.
Pada sesi penjurian ini, seramai empat orang juri telah dilantik bagi memilih wakil negeri ke peringkat kebangsaan iaitu Timbalan Pengarah (Bahasa) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan Razid Sahran, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Johor Tads Mahar Ibnu Hajar, wakil Kolej Yayasan Pelajaran Johor Norhaida Ahmad dan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Muhammad Suhaimi Abd Rahman selaku Ketua Juri.
-NI-