
Laporan/foto: Sheik Amilhisham Sheik Hashim (Jelebu)
JELEBU, 10 Mei (Malaysiaaktif) – My Best Buy menganjurkan Program Mantai Asnaf Aidilfitri Jelebu 2021 sebagai inisiatif membolehkan orang ramai mendapatkan daging lembu pada harga murah.
Menurut Pegawai Daerah Jelebu Abd Rahim Abdullah, program ini turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Jelebu.
“Ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini program Mantai Perdana tidak dapat dilakukan bagi menghormati SOP yang ditetapkan kerajaan, maka kami mengambil inisiatif menukarkan program ini kepada Mantai Aidilfitri yang bersifat lebih santai.
“Tujuan program ini adalah untuk membantu penduduk menangani peningkatan kos sara hidup melalui penjualan pelbagai produk pertanian dan bukan pertanian pada harga yang rendah dan istimewa,” katanya di perkarangan Pusat Khidmat Dun Klawang, di sini hari ini.
Program disempurnakan oleh Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Datuk Ir Bakri Sawir.
Menurut Abd Rahim, turut diadakan agihan daging-daging kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk disampaikan kepada keluarga asnaf di daerah ini agar dapat meringankan beban menjelang ketibaan Aidilfitri Khamis nanti.
-FF