
Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) melalui pergerakan wanitanya mengagihkan 130 pek makanan berupa juadah berbuka puasa kepada pelajar-pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menghuni di Kolej Kediaman UMS-USIA 1Borneo.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan Setiausaha Agung USIA Datuk Hamzah Datuk Mohd. Zakaria sempena Program Kasih Ramadan.
Menurut Hamzah, program ini merupakan tanda keprihatinan dan ingatan pergerakan Wanita USIA kepada pelajar-pelajar yang menginap di Menara USIA.
“Sumbangan ini berbentuk pek makanan, kuih-muih, buah-buahan dan minuman untuk berbuka puasa yang meliputi pelajar-pelajar Islam dan bukan Islam yang menginap di kolej kediaman ini.
“Selain program sebegini, pihak Wanita USIA turut merancang program-program keilmuan berbentuk seminar dan ceramah yang meliputi aspek perpaduan, kenegaraan dan kerohanian sebagai usaha bagi mewujudkan golongan belia yang mempunyai modal insan yang berwibawa dan berintegriti setelah tamat pengajian nanti.
“Program-program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang sejajar dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya di Dewan Ilmu USIA, di sini semalam.

Hamzah (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar sambil disaksikan Matin (kiri), Nanih (tengah) serta Norhanieyati (kanan).
Sementara itu, Timbalan Pengetua Kolej Kediaman UMS-USIA 1Borneo Norhanieyati Norhaizat, menjelaskan kebanyakan penghuni Kolej Kediaman UMS-USIA 1Borneo terdiri dari pelajar wanita dari pelbagai bangsa yang kini berada di tahun dua dan tiga pengajian di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS.
“Disebabkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang dikesan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Kampus UMS telah diwartakan sebagai lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 5 April yang lalu.
“Atas arahan tersebut para pelajar tidak dibenarkan keluar dari kolej kediaman masing-masing dan terpaksa meneruskan pengajian secara dalam talian.
“Sepanjang PKPD ini kebajikan pelajar menjadi tanggungjawab dan keutamaan pihak pentadbir UMS bagi memberi kemudahan yang terbaik kepada para pelajar.
“Namum keprihatinan pihak USIA selaku pemilik bangunan amat kami hargai terutama pada bulan Ramadan kali ini disebabkan oleh PKPD yang diwartakan di seluruh kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) sehingga 2 Mei nanti,” katanya.
Hadir sama pada program tersebut, Penolong Setiausaha Agung USIA Datuk Matin Datuk Pandin, Setiausaha Wanita USIA Rubiah Nurdin, Ahli Majlis Tertinggi USIA Nanih Abah@Nancy Wong serta Penolong Pegawai Tadbir Kolej Kediaman UMS-USIA 1Borneo Frenshella Dalang.

MOHON KEBERKATAN… Bacaan doa selamat yang dipimpin Ustaz Hamzah Ahmad sebelum majlis penyerahan sumbangan bermula.
-RI