
Laporan/foto: R.Vikkneswaran (Timur Laut)
AYER ITAM, 28 Jun ( Malaysiaaktif ) – Sebanyak 117 ahli Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara) menjadi kumpulan pertama pengamal media di negeri ini yang menerima vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini.
Presidennya Imran Hilmy, berkata mereka menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam menerusi Program Vaksinasi Warga Media Pulau Pinang anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
“Akhirnya warga media di Pulau Pinang yang menanti vaksin COVID-19 telah menerima dos pertama suntikan vaksin berkenaan mulai minggu ini.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan lain-lain lagi yang membantu petugas media mendapatkan vaksin ini,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Bandar Baru Ayer Itam.
Sementara itu, seorang jurukamera stesen televisyen swasta Asrolizham Zakaria, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana memberi keutamaan kepada pengamal media bagi mendapatkan suntikan vaksin berikutan tuntutan kerja yang terpaksa turun ke lapangan.
“Kami berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat pada setiap hari,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin, Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut (DTL) Datin Dr. Azizah Ab Manan dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Pulau Pinang Dr. Haniff Hassan.