Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraMAPerlis

5 Strategi CITF Perlis untuk Capai Imuniti Kelompok Menjelang Disember 2021

By 14 Jun 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini telah memasuki fasa ketiga bermula Mei yang lalu dan disasarkan akan selesai pada Disember 2021.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Perlis merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Azman Mohd Yusof, untuk fasa ini seramai 100,000 orang yang terdiri daripada individu berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar untuk program vaksinasi akan disasarkan untuk menerima suntikan vaksin.

“Lima strategi telah dirancang dan dirangka bagi memastikan imuniti kelompok dapat di capai di negeri ini.

“Kerajaan negeri menyasarkan dapat mencapai 80 peratus imuniti kelompok dengan pemberian vaksin COVID-19 sehingga Disember ini,” katanya lagi ketika ditemui pada lawatan persediaan pembukaan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Warisan Kangar, di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, strategi pertama yang akan dilaksanakan adalah dengan meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin dengan sasaran 200,000 rakyat berdaftar bagi menerima suntikan ini.

“Bagi strategi kedua pula, tujuh buah PPV akan dibuka iaitu tiga buah PPV fasiliti awam, sebuah PPV khas yang akan melibatkan hospital, empat buah PPV swasta dan sebuah PPV bergerak.

“CITF mensasarkan pemberian vaksin sebanyak 1,400 dos setiap hari di Dewan 2020 manakala di Dewan Sri Melati Beseri dan Dewan Warisan Kangar dengan kapasiti 400 hingga 500 pemberian dos setiap hari,” ujarnya.

Beliau berkata, CITF Perlis juga merancang untuk menubuhkan pusat bantuan vaksinasi yang akan beroperasi 24 jam setiap hari dengan kerjasama semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan bekalan vaksin untuk rakyat di negeri ini mencukupi.

“Kita juga akan fokus dengan aktiviti turun padang bagi membuat hebahan dan penerangan yang berterusan ke seluruh daerah di negeri ini setelah tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Strategi seterusnya adalah dengan mengembleng seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri bagi mendapatkan kerjasama dan mobilisi aset,” ujarnya lagi.

Azman turut memaklumkan bahawa setakat 10 Jun 2021 seramai 95,392 telah mendaftar untuk menerima vaksin dan seramai 42,214 telah mendapatkan dos pertama manakala yang telah lengkap menerima dua dos berjumlah 21,690.

“Semua pihak bekerjasama membantu pendaftaran vaksin, terutama yang melibatkan golongan warga emas yang tidak mahir menggunakan aplikasi MySejahtera dan laman sesawang vaksin COVID-19.

“Rakyat di negeri ini yang masih belum mendaftarkan diri boleh menggunakan beberapa saluran yang telah disediakan seperti aplikasi MySejahtera, laman sesawang vaksin atau hadir ke fasiliti awam dan swasta yang berhampiran atau melalui program outreach untuk mendaftar,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda