
Laporan/Foto: Sharman Subramaniam (Kuala Selangor)/Aqilah Mazlan (Putrajaya)
SERDANG, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Pusat Kuaratin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini menerima sebuah bas ambulans hasil inovasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Kenderaan tersebut boleh membawa 20 orang pesakit kategori 3 dan 4 dari MAEPS Resuscitation & Isolation Area (MARIA) ke hospital berhampiran yang turut dilengkapi alat bantuan pernafasan bersama dua petugas kesihatan.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, berkata bas ambulans itu merupakan yang pertama direka di Malaysia dengan kos ubah suai berjumlah RM20,000.
“Ini adalah salah satu pendekatan inovatif kita untuk membantu rawatan pesakit menjadi lebih efisien di mana bas sedia ada telah diubahsuai daripada 40 tempat duduk kepada 20 tempat duduk dan dilengkapkan dengan alat bantuan pernafasan.
“Kos pengubahsuaian adalah sebanyak RM20,000 dan ianya amat membantu, jika kita nak beli sebuah bas dengan kelengkapan sedemikian memerlukan perbelanjaan yang amat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Bas Ambulans Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 di sini, hari ini.
“Ketika keadaan darurat ini, kita perlu guna pakai apa-apa sumber untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik.
“Dalam rangka pemikiran tersebut bantuan logistik seperti ini amat diperlukan, maka kita cadangkan untuk meningkatkan bas-bas sedemikian,” katanya.
Selain dari itu, beliau juga berterima kasih kepada pihak pengurusan MAEPS kerana telah meningkatkan bilangan katil sebanyak 1,200 atas peningkatan kes harian COVID-19.
Beliau juga menasihatkan masyarakat supaya sentiasa menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana ianya dirangka bagi melindungi diri dan keluarga yang perlu dihayati, bukan diterima sebagai arahan kerajaan sahaja.
Dalam program sama turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS, Dr Shaharuddin Ibrahim.
-RI