
Laporan/foto: Mohd Zailani Othman (Kinta)/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
TAMBUN, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 membuka mata banyak pihak termasuklah penganjur Program Agihan Barang Basah kepada Penduduk Setempat, Brotherhood Ventures untuk terus berkongsi rezeki dengan mereka yang terkesan di Kampung Tawas Tambahan, di sini pagi tadi.
Pengurus syarikat mencuci kereta Mohd Salorwadi Mohd Nor, berkata tujuan agihan sumbangan keperluan asas ini dilakukan adalah untuk membantu dan meringankan beban mereka yang terkesan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
“Program sebegini telah dilaksanakan untuk kali ketiga di daerah Kinta yang meliputi perkampungan, taman perumahan dan tempat awam serta dihadiri oleh pemimpin setempat.
“Program ini berlangsung semalam dan mendapat sambutan di luar jangkaan daripada penduduk setempat dan kami merancang untuk meneruskan program ini ke beberapa lokasi lain dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui sempena agihan bantuan tersebut.
Brotherhood Ventures merupakan usaha sama antara beberapa syarikat tempatan di sini.
Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh Datuk Azizul Kama Abdul Aziz, berkata program sebegini akan diadakan secara berkala mengikut keperluan dan bergantung kepada bekalan yang diterima.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur program yang sudi menyumbang kepada masyarakat setempat yang memerlukan dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini.
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin menyeru kepada masyarakat agar segera mendaftar sebagai penerima vaksin bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti berkelompok,” katanya.
~RJ~