Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

GPN 4.80, Pencapaian Terbaik SPM dalam Tempoh Lima Tahun

By 10 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Kementerian Pendidikan

PUTRAJAYA, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80, adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, pencapaian pada 2019 adalah 4.86 manakala 4.89 pada 2018, 4.90 (2017) dan 5.05 (2016).

“Data ini menunjukkan pencapaian calon adalah lebih tinggi pada tahun 2020 berbanding tahun 2019. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Analisa ini adalah berdasarkan calon yang mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

“Trend GPN untuk 2016 hingga 2020 menunjukkan, tahun 2020 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun,” katanya ketika pengumuman analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2020 yang diadakan secara maya hari ini.

Dari segi jurang pencapaian mengikut lokasi beliau berkata, jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar mengecil kepada 0.38 pada 2020 berbanding 0.44 pada 2019.

Radzi berkata, pencapaian calon di bandar dan luar bandar pada tahun 2020 mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2019, namun peningkatan pencapaian calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon di bandar.

Beliau berkata, pencapaian calon di bandar pada tahun 2020 adalah 4.68 berbanding 4.70 pada 2019, manakala pencapaian calon luar bandar meningkat kepada 5.06 pada tahun 2020, berbanding 5.14 pada 2019.

Dari segi prestasi mata pelajaran, beliau berkata keputusan peperiksaan SPM 2020 menunjukkan sebanyak 43 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 39 mata pelajaran mencatatkan penurunan, manakala satu mata pelajaran kekal daripada keseluruhan 83 mata pelajaran.

“Bagi prestasi mata pelajaran teras, mata pelajaran Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, mencatatkan peningkatan prestasi pada tahun 2020 manakala Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula merekodkan penurunan prestasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun 2020, peratus calon yang layak menerima sijil SPM meningkat sebanyak 1.96 peratus iaitu 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada 2019.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda