Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PAKEJ Bakal Beri Perkhidmatan Kelas Pertama Kepada Rakyat

By 4 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Zaidy Salim (Putrajaya)/KKMM

PUTRAJAYA, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui kenyataan Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah akan mempertingkatkan prestasi perkhidmatan pos dan kurier untuk mewujudkan perkhidmatan kelas pertama kepada rakyat.

“Pelaksanaan Pelan Tindakan ini yang diberi nama Pelan Accelerator Kurier Negara atau PAKEJ, akan melihat antaranya; pengenalan lebih banyak Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) bebas, perkongsian aset antara syarikat kurier, rombakan syarat lesen operasi, kenderaan penghantaran yang lebih ekonomi, pemakluman dan pematuhan kepada piagam tempoh penghantaran serta penawaran insuran dan mengadakan perkhidmatan premium,” menurut kenyataan itu semalam.

Saifuddin dalam kenyataan itu berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama pihak industri dan agensi kerajaan berkaitan telah menganjurkan Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) pada penghujung 2020.

“Pelan tindakan NPCIL yang berdasarkan kepada pencapaian empat matlamat yang diringkaskan sebagai 4R iaitu Reliability (Boleh Percaya), Reach (Liputan), Relevance (Relevan) dan Resilient (Daya Tahan) amat penting bagi pelaksanaan pelan pembangunan Ekonomi Digital.

“Matlamat 4R ini seterusnya akan menyumbang kepada aspirasi nasional industri kurier iaitu: Menyediakan perkhidmatan kelas pertama kepada pengguna; Memperkemaskan integrasi sistem penyampaian hiliran (last-mile); dan Memberikan pengalaman pengguna yang memuaskan.

Bagi memastikan semua pelan tindakan ini dapat dirancang dan dilaksanakan dengan berkesan, MCMC telah mengambil langkah awal dengan membekukan pengeluaran lesen kurier baharu selama dua tahun sejak 14 September 2020.

Menurut kenyataan itu MCMC telah mengesan penurunan kualiti perkhidmatan kurier yang ketara bagi tempoh penghujung 2019 sehingga 2020 di mana 86% aduan pengguna yang diterima melibatkan layanan buruk, kelewatan penghantaran malahan kehilangan barang. Purata tempoh penghantaran meningkat daripada 2.1 hari kepada 4.6 hari.

“Tambah mengejutkan, kadar keuntungan syarikat-syarikat kurier telah merosot walaupun penghantaran bertambah yang menunjukkan perkembangan yang tidak sihat dan memerlukan satu anjakan yang menyeluruh.

“Industri yang kurang sihat tidak dapat melabur terutamanya dalam usaha pendigitalan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

“Saya yakin Pelan PAKEJ ini akan dapat menghasilkan hala tuju yang berkesan ke arah memantapkan industri kurier demi faedah setiap pengguna di mana jua dan menjadi teras penting dalam perancangan pembangunan masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

-ZS

Tinggalkan komen anda