Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pangkalan Data Rentas Agensi Sedia Liputan Perlindungan Sosial Menyeluruh

By 9 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA, 9 Jun (Malaysiaaktif) – Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) merentas agensi yang meliputi elemen pekerjaan, insurans dan bantuan sosial diperlukan bagi menjadi rujukan tunggal program dan profil perlindungan sosial negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bakal menjadi pendekatan baharu yang berkesan dalam menyediakan liputan perlindungan sosial lebih menyeluruh terutama kepada kumpulan rentan.

“Rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 serta kelompok tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial negara seperti mereka yang berada dalam sektor tidak formal dan persendirian perlu dikenal pasti keperluan masing-masing agar bantuan segera yang bertepatan dapat diberikan,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya semalam.

Beliau berkata bantuan sosial diberikan tidak harus terhad kepada bantuan tunai atau pemberian bakul makanan sahaja, sebaliknya perlu meliputi aspek mobiliti sosial serta nilai tambah yang boleh meningkatkan pendapatan rakyat.

Muhyiddin berkata perkara itu ditekankan beliau ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) secara sidang video pagi semalam.

Mesyuarat itu juga menumpukan kepada agenda peluasan dan pemantapan program jaringan keselamatan sosial negara antaranya melalui cadangan penambahbaikan dan perluasan skim perlindungan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada kelompok yang tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial.

Perdana Menteri berkata dengan jaringan keselamatan sosial negara diperkukuh dan diperluaskan melalui MySPC, lebih banyak isi rumah kategori miskin atau miskin tegar dapat dibantu dan dilindungi.

MySPC yang ditubuhkan pada 2016 dan kali terakhir bermesyuarat pada Disember 2019, kini diaktifkan semula bertujuan menyelaras agenda kesejahteraan sosial yang menyeluruh dan bersepadu khususnya agenda menangani kemiskinan.

MySPC dianggotai 15 kementerian, Ketua Setiausaha Negara dan Gabenor Bank Negara dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri selaku urusetia.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda