
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Pematuhan masyarakat Labuan di lapan lokaliti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar mencapai 95 peratus.
Menurut Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Ahmad Jawila, setakat semalam pematuhan di kawasan-kawasan terlibat PKPD Bersasar menunjukkan peningkatan.
“Ini sebagai satu tanda yang baik bahawa masyarakat di Labuan ini mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dari masa ke masa.
“Kita harap prestasi ini dikekalkan supaya kita boleh menjadi contoh kepada masyarakat di tempat lain bahawa Labuan bersatu dalam mencegah penularan COVID-19,” katanya ketika membuat tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kolej Matrikulasi Labuan (KML), di sini pagi tadi.
Selain itu beliau juga menjelaskan bahawa pihaknya melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan telah menghebahkan kawasan-kawasan yang terlibat dengan Sekatan Jalan Raya (SJR) di pulau itu dan tidak timbul isu masyarakat tidak tahu mengenainya.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi JPBD Labuan Rithuan Mohd Ismail, berkata pada hari ini dijangka 1000 warga kampung akan menerima vaksin di PPV itu.
“Hari ini kita telah minta Ketua-Ketua Kampung bagi kupon lebih awal supaya mereka datang ikut masa dan tarikh ditetapkan, tak perlu kelam-kabut, ikut masa ditetapkan kerana jumlah vaksin untuk warga Labuan adalah mencukupi.
“Kita juga buka untuk jumpa terus lepas pukul 1.00 tengah hari tertakluk kepada baki vaksin yang tinggal dan PPV KML dihadkan sekitar 1200 hingga 1300 orang penerima vaksin sehari berdasarkan kemampuan petugas kesihatan di beberapa hari perjalanan PPV sebelum ini,” jelasnya lagi.
Suasana PPV KML sebelum ini dilaporkan agak sesak terutamanya pada awal pagi dan JPBD bersama agensi-agensi di bawahnya serta Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan membuat pelbagai penambahbaikan bagi mengurangkan kesesakan serta risiko jangkitan COVID-19 di kawasan itu.
-RI