Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 Capai Kemasukan 100,000 Pesakit COVID-19

By 6 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Aqilah Mazlan (Putrajaya)

SERDANG, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) menerima kemasukan lebih 100,000 pesakit sejak dibuka 9 Disember tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata angka tersebut bukan satu kebanggaan pihaknya tetapi memerlukan satu pengorbanan oleh petugas barisan hadapan memastikan pesakit mendapat rawatan yang terbaik.

“Hari ini kita mencatatkan 105,797 kes yang mendapat rawatan di PKRC ini yang mendapat kerjasama yang baik dengan agensi-agensi lain.

“Pengorbanan mereka begitu tinggi tidak kira siang atau malam termasuk ketika cuti umum sebenarnya memerlukan komitmen tinggi agar pengurusan pesakit di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Dr Sha’ari berkata, di awal operasi PKRC ini hanya menerima pesakit dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan) namun turut menerima pesakit kategori tiga (radang paru-paru) serta empat (memerlukan alat bantuan pernafasan).

Datuk Dr Sha'ari ketika ditemui di PKRC MAEPS 2.0 hari ini.

Datuk Dr Sha’ari ketika ditemui di PKRC MAEPS 2.0 hari ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang bertungkus lumus bersama 16 agensi lain bagi memastikan pesakit menerima rawatan sebaik mungkin.

“Walaupun terdapat runggutan namun sikap profesionalisma kakitangan di sini dapat mengatasinya dan berharap pesakit yang menerima rawatan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan,” katanya ketika ditemui di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 hari ini.

Katanya, pengalaman kakitangan di pusat kuarantin ini mampu mengendalikan kes COVID-19 dalam jumlah yang besar.

“Sekiranya berlaku limpahan pesakit yang ramai ke PKRC ini, komitmen dan pengalaman di kalangan kakitangan begitu tinggi mampu merawat pesakit walaupun dalam jumlah yang tinggi.

“Kita juga telah melengkapkan beberapa fasiliti di sini seperti mesin X-ray bergerak, mesin ultra sound dan menambah bilangan pakar perubatan di samping 1,800 kakitangan lain untuk memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda