
Laporan/foto: Wennie Mathew/Budin Gumbang (Sarawak)
KAPIT, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Program suntikan vaksin secara bergerak di Daerah Kapit telah bermula pada hari ini dengan lapan lokasi dilawati oleh kumpulan pemvaksin.
Selaras dengan hasrat kerajaan, program vaksinasi secara bergerak merupakan usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kapit dalam merancakkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dengan segera.
Menurut seorang penerima, Munai Ajai, 75, program vaksin ini amat membantu mereka terutamanya penduduk rumah panjang di sini.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana memilih sekolah yang dekat dengan rumah panjang kami sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) kerana kurang mampu untuk pergi ke pekan yang terletak jauh dari perkampungan rumah panjang,” katanya ketika menerima suntikan tersebut di PPV Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Balleh, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penerima vaksin Balai Berasa, 42, merasa lega kerana sudah divaksin.
“Program seperti inilah yang saya tunggu kerana telah lama membuat pendaftaran, tetapi masih belum menerima temu janji,” katanya.
Kerajaan negeri menggunakan pendekatan suntik dahulu, kemudian daftar turut menjadi faktor pemudah bagi penerima luar bandar yang tidak mempunyai akses komunikasi yang baik.
Pejabat Kesihatan pada masa yang sama menyeru agar individu yang bakal hadir ke PPV, membawa kad pengenalan dan kad kesihatan untuk semakan sebelum divaksin.
-ZS