
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Tiga strategi utama digariskan bagi menjadikan Labuan sebagai wilayah pertama mencapai perlindungan berkelompok.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan Rithuan Mohd Ismail, berkata program pemvaksinan COVID-19 di Labuan mendapat perhatian serius daripada kerajaan dengan cadangan menjadikan Labuan sebagai negeri pertama mencapai pemvaksinan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk yang layak.
“Sebagai langkah memastikan program ini berjalan lancar, strategi pertama yang diambil adalah pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu di Kolej Matrikulasi Labuan dengan kekuatan 1500 suntikan sehari.
“PPV ini akan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pejabat Senator dan Ahli Parlimen serta Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk penyelarasan penduduk yang akan divaksinkan, selain itu pembukaan PPV Taman Mutiara di Klinik Kesihatan Taman Mutiara dengan kapasiti suntikan 300 sehari dengan kerjasama KRT Taman Mutiara sendiri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelasnya, strategi kedua pula melibatkan pembukaan dua lagi PPV iaitu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Dewan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan di Rancha-Rancha.
“Strategi ketiga pula penyediaan tiga pasukan bergerak bagi kawasan penempatan warga asing, kawasan jeti dan satu pasukan bagi memastikan tiada keciciran pemvaksinan di Labuan.
“Penyediaan perkhidmatan pandu lalu untuk pemvaksinan dos kedua di ruang di antara medan selera labuan dan gelanggang boling padang, ketiga-tiga strategi ini akan mempertingkatkan kapasiti pemvaksinan sehingga 5000 suntikan sehari,” katanya lagi.
Tambahnya, program itu juga diperkasakan dengan penglibatan aktif kedua-dua Pejabat Senator dan Ahli Parlimen Labuan, pemimpin-pemimpin tempatan, ketua-ketua kampung, MPP serta NGO di WP Labuan.
“JPBD Labuan amat berharap kerjasama dari semua warga Labuan untuk memastikan program ini berjalan lancar dengan memastikan hadirkan diri berdasarkan temujanji yang telah diberikan oleh pihak Jabatan Kesihatan WP Labuan atau Mysejahtera atau oleh pihak MPP,” jelasnya.
Beliau turut berharap semua komuniti di Labuan bersabar dan memberi ruang kepada JPBD menyelaras bantuan–bantuan yang telah diumumkan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan lebih teratur agar ianya benar-benar dapat memberikan manfaat kepada mereka yang terkesan.
-RI