
Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Syazwan Fahmi (Kuantan)
KUANTAN, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Pejabat Parlimen Indera Mahkota menyediakan Unit Gerak Pantas Pengangkutan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada para penduduk sekitar parlimen Indera Mahkota yang memerlukannya.
Menurut Pegawai Tugas-tugas Khas Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah, Wan Mohd Zulkifly Wan Abdul Rahim, inisiatif ini diwujudkan bagi memudahkan masyarakat setempat terutama golongan warga emas dan orangan kelainan upaya (OKU) untuk ke PPV.
“Pihak kami juga turut menyediakan kemudahan kerusi roda untuk golongan yang memerlukan bagi memudahkan mereka untuk mendapatkan vaksinasi.
“Setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan dan masyarakat di sekitar parlimen ini juga mula tahu kewujudan khidmat penyediaan kenderaan khas ke PPV,” katanya ketika ditemui di Pejabat Parlimen Indera Mahkota, di sini semalam.

Sumbangan gerobok makanan juga disediakan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota bagi membantu golongan yang memerlukan.
Tambah beliau, perkhidmatan ini telah bermula pada bulan Mei 2021 dan beroperasi setiap hari termasuk hujung minggu.
“Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota telah membuat hebahan berkenaan perkhidmatan ini melalui alat siar raya dan edaran risalah di kawasan-kawasan sekitar parlimen ini.
“Selain itu, pihak kami turut membantu para penduduk yang tidak mempunyai kemudahan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19,” ujarnya
Salah seorang penduduk yang ditemui, Halimah Md Yusof dari Taman Kampung Padang berkata beliau bersyukur dengan adanya perkhidmatan pengangkutan seumpama ini yang secara tidak langsung memudahkan urusannya untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Saya berharap inisiatif yang diperkenalkan ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan tiada yang ketinggalan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di parlimen ini,” ujarnya.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dilaksanakan, pusat khidmat ini yang di bawah seliaan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah turut menyediakan bantuan sumbangan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan beban mereka yang terkesan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
-AH-