
Laporan/foto: Anis Hayati Tom (Kota Kinabalu)/Pejabat Timbalan Menteri JPM (Ekonomi)
KENINGAU, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Sook dijangka akan dapat memberi 400 dos sehari apabila mula beroperasi hari ini.
Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Ekonomi Datuk Arthur Joseph Kurup, dalam satu kenyataan berkata, PPV ini membolehkan lebih ramai masyarakat di Daerah Kecil Sook dan kawasan sekitarnya mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
“PPV Ini akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat khususnya di kawasan pedalaman Sabah dengan lebih cepat.
“Selain PPV Dewan Masyarakat Sook, lima PPV di kawasan Parlimen P.182 Pensiangan sedang beroperasi iaitu di Klinik Kesihatan Nabawan, Balai Budaya Salarom Taka, Klinik Kesihatan Pagalungan dan Klinik Kesihatan Pensiangan.
“Kita turut membuat permohonan kepada Jawatankuasa Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 untuk membuka satu lagi PPV di Daerah Nabawan iaitu di Dewan Masyarakat Nabawan untuk menampung bilangan penduduk yang ramai,” ujarnya.
Tambah Arthur, bagi kawasan-kawasan terpencil di pedalaman Sabah yang kurang akses kepada perhubungan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Daerah akan mengadakan program khidmat bantuan secara berkala bagi memastikan penduduk di kawasan tersebut mendaftar dan mendapatkan vaksin.
“Kempen kesedaran vaksin juga terus ditingkatkan di kawasan tersebut melibatkan Jabatan Penerangan Malaysia, KKM, Pejabat Daerah dan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan masyarakat faham akan kepentingan vaksin.

Athur diberikan taklimat oleh Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau, Dr Mohd Norhaizam Ahmad mengenai program vaksinasi di PPV Daerah Kecil Sook.
“Sehingga 18 Jun 2021, penerima vaksin di seluruh Negeri Sabah berjumlah 306,280 orang bagi dos pertama, dan 122,485 orang bagi dos kedua , manakala bagi Zon Pedalaman Sabah (Daerah Keningau, Daerah Nabawan, Daerah Tenom dan Daerah Tambunan) pula adalah sebanyak 28,140 orang bagi dos pertama, dan 11,755 orang untuk dos kedua.
“Ini menunjukkan kadar vaksinasi adalah 10.44% bagi dos pertama dan 4.18% bagi dos kedua, daripada populasi Sabah.
“Proses pemberian vaksin dilihat berjalan dengan lancar, walau bagaimanapun, bagi mengekalkan momentum proses pemberian vaksin saya memohon kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk menghantar lebih banyak bekalan vaksin ke negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur berkata, sehingga tahun 2022 sebanyak 584 menara baharu akan dibina di seluruh Sabah dan sebanyak 40 menara baharu akan dibina di kawasan Parlimen Pensiangan.
Tambahnya, kerajaan turut sedang menaik taraf jalan dari Sapulut ke Pekan Pagalungan agar dapat meningkatkan akses kepada perhubungan darat yang lebih cepat dan mudah di kawasan berkenaan.
Pada program berkenaan, Arthur turut menyampaikan lima unit komputer riba dan sepuluh unit khemah serta beberapa peralatan keperluan lain kepada Pejabat Kesihatan Daerah Keningau untuk digunakan sepanjang Program Vaksinasi di kawasan Parlimen Pensiangan.
-RI