
Laporan/foto: Saberiya Patiroi/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 15 Julai (Malaysiaaktif) – Seramai 9,761 pengendali pengangkutan awam di Sabah digesa mengisi borang vaksinasi COVID-19 di laman rasmi Facebook Lembaga Perlesenan Kenderaan (LPKP) Sabah dengan segera.
Pengerusi LPKP Sabah Datuk Chin Kim Hiung, berkata agensi berkenaan hanya menerima 7,846 daripada 17,607 nama pengendali pengangkutan awam di Sabah untuk pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Daripada jumlah keseluruhan yang telah mendaftar untuk suntikan vaksin, hanya pengendali e-hailing telah menghantar senarai penuh iaitu sebanyak 7,766 orang, manakala bagi pemandu bas hanya 31 daripada 4,693 pengendali dan pemandu teksi hanya 49 daripada 5,148 orang telah mengisi borang berkenaan.
“Jumlah tersebut agak rendah berbanding jumlah keseluruhan pengendali pengangkutan awam yang berdaftar dengan LPKP Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Menurut Chin, senarai nama tersebut akan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan untuk dimajukan kepada pihak berkenaan bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Chin turut menyambut baik pengumuman kerajaan untuk melanjutkan had usia penggunaan kenderaan perkhidmatan awam secara automatik selama setahun kepada kenderaan perkhidmatan awam yang mencapai had usia maksima penggunaan seperti ditetapkan dalam syarat lesen atau permit kenderaan.
“Langkah ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh pengendali pengangkutan awam dan berusaha sedaya mungkin untuk memulihkan sektor ini yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” ujarnya selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah LPKP Sabah yang baharu dilantik, Norsiah Patah pada 8 Jun yang lalu.
-RI