
PUTRAJAYA, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Aktiviti pengumpulan minyak masak terpakai di pasaran memerlukan lesen daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sekiranya ia daripada minyak sawit, kata Ketua Pengarah MPOB, Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Beliau berkata minyak masak sawit terpakai boleh dikitar semula untuk dijadikan bahan lain khusus bagi penghasilan produk bukan makanan seperti biodiesel, lilin, pencuci, sabun serta makanan haiwan.
“Aktiviti pengumpulan minyak masak sawit terpakai (UPCO) adalah antara aktiviti dalam industri sawit yang dilesenkan dan dipantau oleh MPOB. Individu atau entiti yang berminat boleh memohon lesen daripada MPOB,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata pada 2020, jumlah belian UPCO dalam negara oleh peniaga minyak sawit dan kilang biodiesel meningkat kepada 446,904 tan daripada 308,015 tan pada tahun sebelumnya.
Pada tahun yang sama, jumlah jualan UPCO oleh peniaga minyak sawit dan kilang biodiesel meningkat kepada 249,946 tan daripada 245,400 tan pada 2019, katanya.
Beliau berkata bagi jumlah minyak sawit terpakai yang diproses oleh kilang biodiesel dan peniaga minyak sawit turut mencatatkan peningkatan daripada 8,345 tan pada 2019 kepada 189,717 tan pada 2020.
Ahmad Parveez berkata UPCO diklasifikasikan sebagai minyak sawit keladak (SPO) seperti termaktub dalam Peraturan-peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.
Menurut MPOB, berdasarkan Peraturan Dua, Tafsiran, SPO ialah minyak sawit yang telah merosot mutunya akibat tidak disimpan dengan sewajarnya atau disimpan terlalu lama; atau minyak yang tinggal atau yang tertumpah yang didapati daripada pengilangan, penapisan, penyimpanan atau pengangkutan.
Apa-apa minyak sawit masak yang telah luput tarikh atau minyak sawit masak yang telah digunakan juga ditakrifkan sebagai SPO, jelas badan itu.
MPOB menambah, pengendali UPCO juga dilesenkan dalam kategori Peniaga Minyak Sawit (DL) bagi produk SPO sebagaimana termaktub dalam Peraturan-peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.
Ia menjelaskan terdapat empat aktiviti yang dilesenkan oleh MPOB iaitu menjual dan mengalih SPO; membeli dan mengalih SPO; menyimpan SPO dan dan mengeksport SPO.
Ahmad Parveez berkata pihaknya mengenakan fi lesen sebanyak RM100 setahun untuk setiap aktiviti tersebut.
Permohonan lesen akan diluluskan berdasarkan empat kriteria yang telah ditetapkan iaitu entiti perniagaan, modal, pemilikan premis dan kesesuaian premis.
Pihak yang berminat boleh membuat permohonan lesen secara dalam talian menerusi e-lesen.mpob.gov.my.
Bagi aktiviti mengeksport minyak sawit (minyak sawit mentah, minyak sawit diproses dan SPO) pemohon perlu memohon lesen eksport (AP) kastam mengikut Akta Kastam 1967: Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017.
— BERNAMA