Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Bantuan Awal Pendidikan Misi Yayasan JCorp Bantu Pelajar IPT

By 22 Julai 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Johor Corporation (Johor Bahru) 

JOHOR BAHRU, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Bantuan Awal Pendidikan merupakan inisiatif Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) dalam usaha membela nasib para pelajar khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Inisiatif tersebut diperkenalkan bagi membantu mengurangkan bebanan perbelanjaan ibu bapa serta penjaga semasa pendaftaran anak mereka ke institusi pengajian tinggi (IPT) sementara menunggu pinjaman pendidikan dan biasiswa diluluskan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Yayasan JCorp Rozaini Mohd Sani, sejak dilancarkan pada 2017 sehingga Jun 2021, seramai lebih 800 pelajar dari seluruh negara telah menerima manfaat menerusi Bantuan Pendidikan Yayasan JCorp ini di mana sejumlah RM330,000 telah digunakan bagi bantuan tersebut.

“Inisiatif Yayasan JCorp tersebut mensasarkan penerima dalam kumpulan keluarga B40 dan purata pendapatan isi rumah di bawah RM800 berdasarkan jumlah tanggungan keluarga.

“Bantuan awal pendidikan ini diberikan berdasarkan syarat kelayakan pendapatan bulanan isi rumah keluarga,” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan, di sini, baru-baru ini.

Bantuan ini adalah terbuka kepada para pelajar warganegara Malaysia yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Sijil dan Diploma serta Sarjana Muda dan Sarjana (Master) di IPT secara sepenuh masa dengan masing-masing layak menerima sebanyak RM700 dan RM1,000 setiap seorang.

Nur Qistina Aiman Mohammed Amran (kanan) bersama bapanya antara penerima Bantuan Awal Pendidikan sumbangan Yayasan JCorp bagi membiayai kos awal kemasukan ke Universiti Teknologi MARA Melaka dalam bidang Sarjana Muda Sains Pentadbiran.

Nur Qistina Aiman Mohammed Amran (kanan) bersama bapanya antara penerima Bantuan Awal Pendidikan sumbangan Yayasan JCorp bagi membiayai kos awal kemasukan ke Universiti Teknologi MARA Melaka dalam bidang Sarjana Muda Sains Pentadbiran.

“Setiap permohonan bantuan awal pendidikan yang diterima akan melalui proses saringan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan.

“Kami berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa serta keluarga pelajar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dalam membiayai kos kemasukan anak mereka ke universiti,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Yayasan JCorp turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk aktiviti bantuan pendidikan ini yang mana ia boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Yayasan Johor Corporation (01014010027795).

“Setiap sumbangan akan mendapat pelepasan cukai sebanyak 10 peratus daripada pendapatan individu dan syarikat.

“Maklumat lanjut mengenai Bantuan Pendidikan Yayasan JCorp ini, boleh diperolehi di laman sesawang Yayasan JCorp http://www.yayasanjcorp.com.my/ dan para pelajar juga boleh membuat permohonan secara atas talian melalui halaman Facebook Yayasan JCorp di https://www.facebook.com/yayasanjohorcorporation/,” tambah kenyataan itu.

-NI-

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan komen anda