Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Bekalan Darah di Tabung Darah Hospital Kapit Menurun Drastik

By 27 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Saufi Omar (Sarawak)

KAPIT, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Kesan daripada pandemik COVID-19, kutipan darah di Tabung Darah Hospital Kapit menurun dengan drastik dan tidak mampu untuk menampung keperluan pesakit sehingga mereka terpaksa mendapatkan bekalan daripada Hospital Sibu.

Pegawai Sains di Tabung Darah Hospital Kapit Izreena Saihidi, berkata kutipan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam purata 10 beg darah sebulan kerana pendermaan secara jumpa terus adalah sangat kurang.

“Sebelum ini, Tabung Darah bergantung kepada pendermaan darah secara bergerak namun terpaksa dihentikan sementara waktu ekoran peningkatan kes COVID-19 yang tinggi di Bahagian Kapit sebelum ini.

“Tabung Darah Hospital Kapit amat berharap agar penduduk Kapit dapat tampil secara sukarela dengan berterusan di Unit Pendermaan Darah Hospital Kapit untuk menderma darah bagi memastikan bekalan darah yang mencukupi dapat dikumpul untuk kegunaan pesakit.

Tabung Darah Hospital Kapit turut mengalu-alukan agensi dan syarikat yang berminat untuk menganjurkan Kempen Derma Darah secara bergerak ke seluruh daerah Kapit,” katanya yang ditemui di pusat tersebut, di sini hari ini.

Wan Jefri merupakan penderma darah tetap Tabung Darah, Daerah Kapit.

Wan Jefri merupakan penderma darah tetap Tabung Darah, Daerah Kapit.

Menurut Izreena, unit pendermaan darah dibuka pada setiap Isnin hingga Rabu, bermula pada pukul 8 pagi hingga 4.30 petang.

Seorang penderma Wan Jefri Wan Hashim, 45, menyifatkan menderma darah tidak menyakitkan malah lebih menyihatkan.

“Saya menyeru penduduk Kapit yang sihat untuk tampil menderma darah bagi membantu Tabung Darah memastikan bekalan darah mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, penjawat awam Daniel Jong, 26, memastikan dirinya untuk menderma darah secara konsisten.

“Setiap tiga bulan saya akan hadir ke Pusat Pendermaan Darah kerana mengetahui menderma darah mempunyai manfaat yang pelbagai,” ujar petugas di Jabatan Penerangan Daerah Kapit ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda