
Laporan/foto: Afnan Hakimi (Marang)
MARANG, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Bukit Lubuk Batu terletak di Kampung Lubuk Batu, di sini merupakan kawasan kebun tanaman durian berbukit dan di puncaknya terdapat stesen pemancar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Mohd Zaid Ibrahim, 43, berkata perancangan menaik taraf puncak Bukit Lubuk Batu sudah lama bermula iaitu sejak tahun 2019 lagi namun terhenti selepas negara dilanda pandemik COVID-19 pada tahun lalu.
“Terletak 24 kilometer dari bandaraya Kuala Terengganu dan 18 kilometer dari Bandar Marang, bukit ini mempunyai ketinggiaan 359 meter dari paras laut dan puncaknya menyajikan permandangan indah Laut Cina Selatan dan bandaraya Kuala Terengganu.
“Bukit Lubuk Batu kini telah menjadi daya tarikan terbaru kepada golongan pendaki sebelum terkenal dengan tempat lambakan durian,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut, di sini baru-baru ini.
Menurut Zaid, aktiviti mendaki bukit dan joging sangat sesuai dilakukan pada waktu pagi dan petang kerana pemandangannya memukau setiap pengunjung yang berada di puncak.
“Sepanjang jalan untuk naik ke puncak bukit ini dihiasi dengan deretan kebun durian penduduk setempat dan sebuah anak sungai yang mengalir jernih menjadikan Bukit Lubuk Batu ini sangat menarik untuk dikunjungi.
“Berdiri megah replika buah durian gergasi yang menjadi mercu tanda bagi Kampung Lubuk Batu, di situ juga terdapat gerai-gerai jualan durian yang merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat.
“Aktiviti mendaki ke puncak kini dibuka semula kepada orang ramai selepas Negeri Terengganu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan aktiviti-aktiviti riadah tanpa sentuhan diperluaskan,” katanya.
-ii-