
Foto: Jabatan Perangkaan
PUTRAJAYA, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Indeks Pelopor (IP) Malaysia berkembang perlahan kepada 6.9 peratus pada Mei 2021 selepas meningkat kepada 15.7 peratus pada April 2021, berasaskan perbandingan tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP berperanan sebagai indikator bagi pergerakan ekonomi ke hadapan secara keseluruhan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu didorong oleh import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain serta bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan.
Beliau berkata pada masa sama, IP turun sebanyak 2.9 peratus bulan ke bulan, dengan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-1.2 peratus) terutama platinum adalah antara komponen yang mendorong penurunan IP.
“Kadar pertumbuhan IP terlicin kekal di atas trend bagaimanapun, bergerak menurun dan ekonomi Malaysia dijangka menghadapi cabaran untuk mengekalkan momentum pemulihan.
“Kemunculan varian baharu COVID-19 yang lebih berbahaya telah mencetuskan sentimen pesimis di peringkat global dan nasional,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan Bagi Mei 2021 yang dikeluarkan DOSM pada Jumaat.
Beliau juga berkata sekatan pergerakan yang berpanjangan untuk melindungi nyawa juga boleh mempengaruhi prospek pemulihan.
Mohd Uzir berkata dari perspektif Indeks Serentak (IS) yang menunjukkan prestasi ekonomi pada bulan rujukan pula mendapati indeks itu meningkat perlahan kepada 10.0 peratus pada Mei 2021 setelah mencatatkan pertumbuhan tahunan 20.2 peratus pada April 2021.
Beliau berkata sebaliknya, prestasi bulanan IS susut 1.3 peratus pada Mei 2021 dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-1.2 peratus), terutama disebabkan kemerosotan 15.8 peratus dalam jualan runcit di kedai khusus yang menjual bahan api kenderaan.
— BERNAMA