Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Jangan Terpedaya Gimik Jualan Murah Produk di Internet

By 23 Julai 2021Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan gimik jualan murah yang terdapat dalam internet kerana kebanyakan produk yang dijual adalah daripada laman sesawang atau aplikasi yang tidak berdaftar.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), produk yang dijual juga tidak tertakluk kepada akta dalam negara selain sesetengah daripadanya mempunyai kecenderungan untuk menyerupai produk berjenama.

“Pengguna akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak mereka daripada platform berkenaan jika kualiti produk yang dibeli melalui gimik jualan murah tersebut gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki oleh pengguna,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, SKMM menasihati sebagai langkah yang lebih selamat, orang ramai digesa untuk lebih bijak menilai jualan dan promosi dalam platform e-dagang sedemikian.

Orang ramai juga dinasihati sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform digunakan ketika melakukan transaksi, selain perlu meneliti syarat-syarat perkhidmatan dan polisi berkaitan dengan pembayaran balik serta pampasan yang ditetapkan oleh penyedia platform e-dagang.

Menurut SKMM, ia penting bagi melindungi diri mereka daripada terdedah kepada risiko yang tidak diingini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda