
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari (Johor)/MEDKOM
JOHOR BAHRU, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Pendaftaran Program Vaksinasi Johor ImmuPlan yang diwujudkan khusus untuk barisan hadapan ekonomi Johor termasuk membantu para pekerja Malaysia-Singapura telah dibuka sejak 29 April yang lalu mendapat sambutan baik rakyat.
Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, berkata suntikan vaksin ini merupakan syarat utama bagi kebenaran untuk para pekerja yang berulang-alik ke Singapura apabila sempadan dua buah negara dibuka kembali kelak.
“Bagi individu yang ingin memohon di bawah program ini mestilah mempunyai permit kerja Singapura yang sah selain mempunyai surat tawaran kerja atau surat majikan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini semalam.
Salah seorang penerima vaksin bawah program tersebut Nor Fazlina Hamdan, 34, berkata sebelum pandemik COVID-19, beliau sering berulang-alik ke Singapura kerana bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sana.
“Dengan pelaksanaan program seumpama ini, harapan untuk saya kembali bekerja di Singapura akan tercapai.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas pelaksanaan program ini yang secara tidak langsung membantu memudahkan kami yang bekerja di Singapura,” katanya.
Tambahnya, beliau berharap inisiatif seperti ini akan diteruskan dan diperluaskan kepada seluruh rakyat di negeri ini.
-NI-