
Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 3 Jul (Malaysiaaktif) – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 12 Mei yang lalu memberi impak yang berbeza kepada masyarakat dari segi ekonomi, sosial mahupun kerohanian.
Menurut Ketua Kampung Semerah Darat Noor Din Sujak, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Semerah Darat Batu Pahat mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan kepada golongan yang terjejas bagi meringankan beban mereka berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
“Bantuan itu adalah hasil sumbangan orang ramai berupa barangan keperluan harian dan wang ringgit untuk diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan, warga emas, ibu tunggal, asnaf dan juga mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Ini adalah sebahagian usaha JPKK bagi memastikan para penduduk kampung tidak terputus bekalan makanan sepanjang pelaksanaan PKP ini,” katanya ketika ditemui pada sesi penyerahan sumbangan di Kampung Semerah Darat Batu Pahat, di sini semalam.
Tambah beliau, bagi fasa pertama, sebanyak 40 bungkusan barang keperluan makanan telah diagihkan kepada penduduk kampung yang benar-benar memerlukannya.
“Bantuan ini akan berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP dan dijangka akan memberi manfaat kepada 190 buah rumah penduduk Kampung Semerah Darat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang barangan keperluan harian mahupun wang ringgit bagi meringankan beban dan memastikan golongan yang terjejas tidak terputus bekalan makanan,” ujarnya.
-NI-