
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Dalam tempoh seminggu berturut-turut, jumlah kes baharu harian COVID-19 di negara ini melebihi angka 6,000 dengan 6,387 kes dilaporkan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman Twitternya semalam berkata angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 342 kes berbanding 6,045 kes kelmarin.
Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah terkumpul kes COVID-19 di negara ini sebanyak 785,039.
Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 2,610 kes, diikuti Kuala Lumpur (819), Negeri Sembilan (523), Sarawak (424), Johor (324), Pahang (312) dan Kedah (273).
Sabah pula mencatatkan 263 kes, Perak (249), Melaka (206), Pulau Pinang (157), Kelantan (114), Labuan (71), Putrajaya (25), Terengganu (17) dan sifar kes di Perlis.
Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan berkata daripada 6,387 kes baharu itu, 26 adalah kes import (masing-masing 13 warganegara dan bukan warganegara) dan 6,361 melibatkan penularan dalam negara terdiri daripada 4,864 warganegara dan 1,497 bukan warganegara.
Beliau berkata sebanyak 4,532 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 710,018 kes.
“Kes aktif kini mencatatkan 69,447 manakala jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) seramai 923 orang termasuk 433 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata 77 kematian direkod semalam melibatkan 73 warganegara dan empat warga asing berumur lingkungan 29 hingga 86 tahun dengan majoritinya menghidap penyakit kronik.
Jumlah mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Malaysia sehingga kini ialah 5,574 orang.
Beliau berkata sejumlah 13 kluster baharu dikesan semalam dengan 11 daripadanya penularan di tempat kerja manakala dua lagi kluster melibatkan komuniti.
Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Industri Tech Valley Sendayan dan Industri TTJ 2 di Negeri Sembilan, Jalan Harmoni Sembilan dan Jalan Sri Sulong (Johor), Lorong Berjaya dan Jalan Kayu Madang (Sabah) serta kluster Industri Bentong Sebelas 2 dan Industri Jerantut Feri di Pahang.
“Selain itu, kluster Industri 121 Kuala Baram direkodkan di Sarawak, Dah Satu Industri Kulim di Kedah dan Lintang Macallum Dua di Pulau Pinang. Bagi kluster komuniti melibatkan kluster Kampung Bakong Gunong dan Kampung Bechah Tembesu di Kelantan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terkini yang direkodkan semalam, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 Malaysia adalah 1.06.
Pahang dan Putrajaya mencatat Rt paling tinggi iaitu masing-masing pada nilai 1.17 manakala negeri-negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Melaka 1.12, Selangor (1.08), Kuala Lumpur (1.06), Kedah (1.05), Pulau Pinang (1.04), Perak (1.04) dan Sabah (1.02).
Negeri yang merekodkan Rt di bawah 1.0 adalah Negeri Sembilan, Labuan, Johor, Sarawak, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis merekodkan Rt pada nilai 0.
— BERNAMA