
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Kes baharu positif COVID-19 semalam sedikit menurun dengan 16,840 setelah dua hari berturut-turut merekodkan angka melebihi 17,000.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitter berkata jumlah kumulatif kes dalam negara kini meningkat kepada 1,095,486.
Selangor kekal menjadi negeri mencatatkan pertambahan kes tertinggi iaitu sebanyak 6,092 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,114 kes.
“Selain itu, Kedah merekodkan 1,281 kes; Johor (1,104); Negeri Sembilan (1,079); Sabah (1,066); Perak (810); Pulau Pinang (689 ); Kelantan (656); Melaka (581); Pahang (540); Sarawak (450); Terengganu (258) ,” katanya.
Putrajaya pula merekodkan kes sebanyak 100 diikuti Perlis (13), manakala Labuan (tujuh).
Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan media memaklumkan daripada 16,840 kes baharu itu hanya 1.7 peratus (284 kes) adalah daripada kategori, tiga, empat dan lima manakala selebihnya terdiri daripada kategori satu dan dua.
Katanya ia berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.
“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.
Pada masa sama, 134 kematian turut direkodkan semalam dengan 35 kematian di Selangor; Melaka (17); masing-masing 15 kematian di Johor dan Negeri Sembilan; Kedah (12); Perak (12); Kuala Lumpur (10); Sabah (enam); Terengganu (lima); Pahang (empat); Kelantan (dua); dan satu kematian di Pulau Pinang.
Menurutnya 128 kematian melibatkan warganegara dan enam lagi adalah rakyat asing.
Jumlah pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula melebihi angka 1,000 iaitu 1,055 kes dengan 532 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.
Selain itu 12,179 kes sembuh turut dicatatkan, menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 902,921 kes.
Dr Noor Hisham berkata 47 kluster baharu dikesan kelmarin dengan 24 daripadanya berkaitan dengan tempat kerja; kluster komuniti (17); kumpulan berisiko tinggi (tiga); kluster pendidikan (dua); dan agama (satu).
Beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia kelmarin adalah 1.15 dengan Terengganu mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.36, diikuti Kelantan (1.27), serta Sabah 1.22.
Semua negeri lain mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis.
— BERNAMA