Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Laman Sesawang PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 Dilancarkan

By 23 Julai 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Manarina Aqilah Mazlan (Putrajaya)

SERDANG, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melancarkan laman sesawang Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0.

Timbalan Ketua Pengarah NADMA (Operasi), Meor Ismail Meor Hakim, berkata laman sesawang www.pkrcmaeps.gov.my berkenaan ditaja sepenuhnya oleh MYNIC Berhad dan telah diaktifkan sejak 1 Julai lalu.

“Pembangunan laman sesawang ini bertujuan menyalurkan informasi terkini yang tepat dan sahih tentang pengoperasian PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 kepada umum.

“Di samping itu, ia juga menyediakan panduan kepada pesakit dan waris, menyampaikan maklumat yang konsisten serta sebagai bahan rujukan pada masa yang akan datang.

“Pelbagai bentuk infografik telah dimuatnaik di dalam laman sesawang ini bagi memudahkan orang awam membuat rujukan sekiranya mereka bakal dikuarantinkan di sini,” katanya semasa melancarkan laman sesawang PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 secara maya hari ini.

Meor Ismail (tengah) membacakan kenyataan media ketika melancarkan laman sesawang PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini pusat kuarantin berkenaan.

Meor Ismail (tengah) membacakan kenyataan media ketika melancarkan laman sesawang PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini pusat kuarantin berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA, DCP Datuk Hussein Omar Khan dan Pengarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim.

Menurutnya, pihak awam boleh mengajukan sebarang soalan atau permasalahan di dalam lawan sesawang tersebut yang akan menerima maklum balas dalam masa 24 jam.

“Perkhidmatan ini dikawal selia oleh petugas dari MAEPS Covid Centre KKM (MCCK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertauliah dan berpengalaman mengendalikan pusat khidmat pelanggan.

“Pihak media juga boleh merujuk laman sesawang untuk sebarang pengumuman, kenyataan media serta prosedur operasi standard (SOP) terkini melibatkan operasi PKRC ini.

“Laman sesawang ini turut dibangunkan bersama-sama dengan Jabatan Penerangan Malaysia Selangor,” jelas beliau.

Katanya, beliau berharap masyarakat mengetahui kewujudan laman sesawang ini yang akan memudahkan mereka membuat rujukan bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat.

Majlis pelancaran laman sesawang PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dilancarkan secara rasmi hari ini secara maya.

Majlis pelancaran laman sesawang PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 secara maya hari ini.

Mengulas lanjut, Meor Ismail memaklumkan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 diakifkan semula pada 6 Disember tahun lalu berikutan peningkatan kes COVID-19 dengan mendadak susulan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Pada awalnya, pengambilan pesakit COVID-19 hanya melibatkan pesakit bukan wargananegara bagi kategori satu (tanpa gejala) dan kategori dua (gejala ringan).

“Namun, pada 24 Januari lalu ianya dinaiktaraf kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu MAEPS 2.0 setelah mula menerima pesakit kategori tiga dan empat dengan skala yang sederhana.

“Ia kini beroperasi di tujuh dewan yang boleh menampung sehingga 5,000 pesakit pada satu-satu masa dan sehingga kini telah merawat seramai hampir 120,000 pesakit dalam masa tujuh bulan,” katanya.

Jelas beliau, pengurusan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 melibatkan kolaborasi 19 buah agensi yang diterajui bersama oleh NADMA dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor dengan kekuatan anggota harian lebih dari 1,500 kakitangan.

-RI

Tinggalkan komen anda